DATUK JULITA MAJUNGKI
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus komited memperkukuh agenda pembangunan wanita, meningkatkan perkhidmatan kesihatan serta memperkasa kesejahteraan rakyat melalui pelbagai inisiatif strategik yang dilaksanakan sepanjang tahun ini.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Julita Majungki berkata kementeriannya akan meneruskan pelaksanaan program pemerkasaan wanita termasuk BizBloom, GENDERasi Harmoni dan Program Keluarga Sejahtera Wanita Unggul bagi meningkatkan kesejahteraan golongan tersebut, khususnya dalam kalangan kumpulan B40.
Menurut beliau, fokus turut diberikan kepada program kesedaran menangani isu perkahwinan awal kanak-kanak serta penyediaan bantuan guaman bagi memastikan akses keadilan kepada wanita terus terjamin.
Dalam sektor kesihatan, kerajaan negeri memperuntukkan RM4.5 juta bagi Fasa 2 Skim Bantuan Kesihatan Sabah Sejahtera yang dijangka memberi manfaat kepada 2,219 pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis.
“Selain itu, usaha menaik taraf Hospital Queen Elizabeth II sebagai Pusat Jantung Sabah sedang dalam fasa penyediaan anggaran kos sebelum dimuktamadkan untuk kelulusan peruntukan,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini pada Rabu.
Beliau turut memaklumkan pembinaan Pusat Pakar Pergigian Sabah bernilai RM32.76 juta telah siap, manakala projek Pusat Darah Sabah bernilai RM92 juta dijangka siap pada 2029 bagi meningkatkan kapasiti pengumpulan darah sehingga 120,000 unit setahun.
Dalam usaha memperkukuh kemudahan kesihatan, kerajaan juga meluluskan peruntukan RM18 juta bagi perolehan dua mesin MRI untuk Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah serta Hospital Queen Elizabeth II.
Sementara itu, dalam aspek kesejahteraan rakyat, kerajaan negeri akan meneruskan bantuan sosial kepada lebih 1,000 sekolah rendah serta memperkukuh institusi penjagaan warga emas, termasuk penyiapan Kompleks Warga Emas dan OKU di Inanam yang dijangka beroperasi Ogos ini.
Kerajaan juga memberi perhatian kepada peningkatan kes autisme dengan memperluaskan operasi Pusat Autisme Sabah ke beberapa daerah termasuk Tawau, Sandakan dan Beaufort bagi menyediakan intervensi awal kepada kanak-kanak terlibat.
Mengulas isu kos sara hidup, Julita berkata kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melaksanakan pelbagai langkah termasuk Ops Tiris 4.0, Ops Kesan 5.0 serta Program Jualan Rahmah MADANI bagi memastikan harga barangan kekal terkawal.
Sehingga kini, sebanyak 1,010 penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI direkodkan dengan lebih 853,000 transaksi, sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau mengakui Sabah masih berdepan kekurangan tenaga pakar kesihatan dengan nisbah seorang doktor kepada 775 penduduk berbanding sasaran nasional 1:400.
“Usaha berterusan sedang dilaksanakan termasuk meningkatkan peluang latihan kepakaran serta pemberian insentif bagi menarik lebih ramai doktor berkhidmat di Sabah,” katanya.
Mengakhiri ucapan, beliau menegaskan kementerian akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kebajikan secara inklusif dan menyeluruh bagi memastikan kesejahteraan rakyat Sabah sentiasa terpelihara.



