Hajiji (duduk) menandatangani plak perasmian.
TUARAN : Sabah berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pelbagai program sedang dilaksanakan bagi memperkukuh sektor pelancongan negeri sebagai persediaan ke arah Tahun Melawat Sabah 2027.
“Dengan pelbagai program yang sedang dilaksanakan ketika ini, saya yakin Sabah berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta membuat persediaan bagi Tahun Melawat Sabah 2027,” katanya ketika merasmikan Hilton Garden Inn Kota Kinabalu Tuaran di Kampung Pulau Simpangan, Kuala Matinggi di sini, pada Ahad.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar sedang merangka Pelan Pembangunan Pelancongan Sabah yang komprehensif dan dijangka siap sebelum penghujung tahun ini.
Pelan itu akan menetapkan hala tuju baharu bagi pertumbuhan sektor pelancongan, menangani aspek kemampanan dan cabaran seperti hubungan penerbangan serta menyediakan kerangka pembangunan yang melangkaui pelan induk terdahulu.
“Yang lebih penting, pembangunan seperti ini menyokong beberapa teras utama strategi pertumbuhan pelancongan Sabah, iaitu memperkukuh pilihan penginapan premium dan mampan, mewujudkan peluang pekerjaan bermakna serta pembangunan kemahiran untuk penduduk tempatan,” ujarnya.
Beliau berkata Sabah menerima 3.79 juta pelawat pada tahun lalu, meningkat 20.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Tambahnya, pembukaan Hilton Garden Inn serta kemasukan beberapa jenama hotel antarabangsa lain menunjukkan keyakinan berterusan pelabur terhadap potensi sektor pelancongan dan hospitaliti Sabah.
Turut hadir, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin./Penerangan–



