Gimik perasmian disempurnakan oleh Joniston.
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 2.6 juta ketibaan pelawat domestik dan antarabangsa setakat Ogos 2026.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ketibaan pelawat ke Sabah bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Ini merangkumi 1.1 juta pelawat antarabangsa dan 1.5 juta pelawat domestik.
“Angka ini jelas menunjukkan Sabah terus menjadi destinasi pilihan dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.
“China kekal sebagai pasaran antarabangsa utama apabila merekodkan 578,681 ketibaan bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
“Perkembangan ini turut disokong oleh pasaran Singapura, Australia dan Eropah, manakala Jepun yang turut merekodkan perkembangan memberangsangkan susulan semakan semula nasihat perjalanan.
“Manakala, ketibaan dari Itali dan Sepanyol pada bulan Ogos mencerminkan daya tarikan Sabah yang semakin kukuh dalam kalangan pelancong Eropah,” katanya pada Majlis Perasmian Malam Gala dan Ritma Kinabalu 2026 di Padang Merdeka, di sini, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Dalam ucapan tersebut, beliau berkata perkembangan itu memberi keyakinan yang Sabah juga mempunyai potensi yang besar untuk terus memperluas jangkauan ke pasaran antarabangsa, khususnya dengan sokongan rangkaian dan ketersambungan penerbangan yang lebih baik.
“Pasaran domestik yang mencatat peningkatan sebanyak 2.1 peratus terus menjadi tonggak penting kepada industri pelancongan negeri.
“Berdasarkan dapatan awal Lembaga Pelancongan Sabah, turut menunjukkan minat terhadap Sabah sebagai destinasi pelancongan kekal kukuh,” ujarnya.
Namun begitu, beliau sedar masih terdapat cabaran yang perlu ditangani, khususnya berkaitan tambang penerbangan dan ketersediaan penerbangan yang boleh mempengaruhi keputusan pelancong untuk berkunjung ke Sabah serta daya saing negeri ini berbanding destinasi lain di dalam negara dan rantau ini.
“Justeru, aspek ketersambungan udara perlu terus diberikan perhatian agar potensiÂ
besar sektor pelancongan Sabah dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” tambahnya.
Mengenai Malam Gala dan Ritma Kinabalu atau Rhythms Of Kinabalu 2026 yang kini memasuki edisi ke-12, beliau berkata ia adalah satu inisiatif yang baik dalam menyediakan platform dan peluang kepada penggiat seni budaya kumpulan muzik tradisional dan kontemporari untuk mempersembahkan karya seni yang berkonsepkan Muzik Borneo.
“Pelancongan kebudayaan merupakan antara tarikan utama yang mampu menarik lebih ramai pelancong ke Sabah.
“Kepelbagaian khazanah budaya, adat resam, seni dan makanan tradisional kita menawarkan pengalaman yang unik kepada para pengunjung.
“Pada masa yang sama, sektor ini membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat serta membantu memelihara khazanah budaya untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau turut menyeru agar bersama-sama memperkenalkan kekayaan budaya Sabah kepada dunia, di samping memastikan keasliannya terus terpelihara.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah, Dr. Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab, Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC (Kebudayaan), Datuk Mohd Yusri Mohd Yussof danKetua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Hari/Penerangan–



