RUSDIN (ketiga dari kiri) bergambar bersama pegawai dan kakitangan baharu UPPM Dun Paginatan selepas majlis penyerahan watikah, hari ini
RANAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Paginatan, Rusdin Riman menegaskan bahawa pelantikan Penyelia Pemaju Masyarakat, Pemaju Masyarakat dan Pemaju Mukim bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada penyandang jawatan berkenaan di sini, hari ini.
Antara yang menerima pelantikan ialah Jine Bin Jauman sebagai Penyelia Kemajuan Masyarakat. Sementara itu, Ramlan Bin Raiman, Jonny Bin Kanggoi dan Muhinin Bin Midin masing-masing dilantik sebagai Pemaju Masyarakat.
Manakala, Ramllye Bin Punggong, Saip Bin Katin serta Siti Jaleha Binti Mohd. Jiman pula dilantik sebagai Pemaju Mukim.
Menurutnya, setiap individu yang dilantik perlu menunjukkan komitmen tinggi, disiplin serta kehadiran konsisten di lapangan dalam memastikan perkhidmatan kepada rakyat berjalan dengan berkesan.
“Pelantikan ini bukan untuk dibanggakan semata-mata, tetapi satu tanggungjawab yang akan dinilai. Saya tidak mahu ada yang hanya memegang jawatan pada nama tanpa melaksanakan tugas sebenar,” katanya.
Rusdin turut mengingatkan bahawa mereka yang dilantik merupakan wakil kerajaan di peringkat akar umbi, justeru setiap tindakan, percakapan dan keputusan perlu mencerminkan kredibiliti kepimpinan.
Beliau menegaskan tiada ruang untuk sikap sambil lewa, tidak responsif atau memilih bulu dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

AMANAT…Rusdin ketika menyampaikan amanat kepada Penyelia Pemaju Masyarakat, Pemaju Masyarakat dan Pemaju Mukim DUN Paginatan yang baru dilantik.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua Penyelia Pemaju Masyarakat, Pemaju Masyarakat dan Pemaju Mukim supaya turun padang, mengenali kawasan masing-masing serta memahami isu setempat bagi membolehkan tindakan segera diambil.
“Rakyat tidak boleh menunggu dan masalah tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa mana-mana individu yang tidak mampu memikul amanah tersebut dengan baik disaran agar berundur bagi memberi ruang kepada mereka yang benar-benar komited.
“Kita perlukan pasukan yang bekerja, bukan sekadar memegang gelaran,” katanya.
Pada masa sama, beliau yakin ramai dalam kalangan yang dilantik mempunyai semangat serta keikhlasan untuk berkhidmat dan berharap ia dapat dibuktikan melalui tindakan yang memberi impak kepada masyarakat.
Mengakhiri ucapannya, Rusdin mengucapkan tahniah kepada semua penerima watikah pelantikan dan menyeru agar tugas dilaksanakan dengan penuh integriti, tanggungjawab serta keberanian, di samping menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua hadirin.



