31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Julai 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Runtuh, Jalan Ranau-Kundasang di KM 11.3 masih ditutup : JKR

Oleh : ADUKA JASNIN SUMAN

RANAU: Jalan Ranau – Kundasang, di Kilometer 11.3, dekat Kg. Pinausok di sini, yang terputus akibat kejadian tanah runtuh malam tadi, masih ditutup.

Menurut laporan terkini Jurutera Daerah JKR Ranau, Mac Glen F. Lojuman, kerja-kerja pembersihan dan penimbunan sedang giat dijalankan.

Jalan utama Terputus

“Konsesi Lintasan Resources Sdn Bhd selaku kontraktor dilantik sedang membuat pembersihan jalan, penimbunan tanah dan batu jenis blok batu (block stone) sebagai lencongan sementara (temporary diversion) di tempat kejadian.

“Terdapat 2 buah jentera jenis Jengkaut (Excavator) dan sebuah Jengkaut Bajak (Backhoe) ditempatkan di lokasi kejadian untuk kerja-kerja berkaitan.

“Papan tanda penunjuk jalan alternatif telah dipasang di setiap laluan sebagai rujukan pengguna jalan dari kedua-dua arah. Petugas (Flagman) turut ditempatkan di setiap simpang laluan alternatif,” katanya.

Kerja-kerja pembersihan giat dijalankan

Menurut Mac Glen, siasatan awal mendapati, terdapat aktiviti menarah tanah persendirian melibatkan keluasan kira-kira 2.6 ekar berhampiran kawasan kejadian.

Beliau juga mendakwa, pemilik tanah tiada memohon sebarang ulasan daripada JKR dan jabatan berkaitan sebelum memulakan kerja-kerja berkenaan.

Pihak Konsesi giat menjalankan kerja-kerja berkaitan di lokasi tanah runtuh

Akibat daripada kejadian itu, bekalan air dan elektrik turut terjejas di beberapa kawasan sekitar Kundasang selepas batang paip terputus dan terdapat tiang elektrik tumbang dan patah.

Dalam kejadian jam 9.40 malam pada Ahad, ratusan kenderaan yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke pantai timur Sabah dan sebaliknya terkandas selepas berlaku tanah runtuh dalam skala menyebabkan jalan utama terputus.-TAMAT-

Laluan Alternatif

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN