Oleh: MARTINA MINING
RANAU: Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 anjuran bersama Persatuan Peranakan Tionghua Ranau, Persatuan Hokkien Ranau dan Lembaga Pengelola (LPS) SJK(C) Pai Wen, Ranau, berlangsung meriah baru-baru ini.
Majlis yang diadakan di Dewan SJK(C) Pai Wen pada Isnin lalu, dihadiri ribuan masyarakat tempatan di sini yang terdiri dari pelbagai lapisan termasuk murid-murid, guru-guru SJK(C) Pai Wen serta ibu bapa.

Tetamu yang hadir dihiburkan dengan pelbagai persembahan pentas daripada murid-murid SJK(C) Pai Wen dan Kelab Kebudayaan sekolah itu, antaranya nyanyian, tarian Kipas, tarian Riben dan tarian singa. Turut menjayakan tarian singa ialah kumpulan penari daripada Persatuan Peranakan Tionghua Ranau.
Penampilan khas salah seorang artis dari kumpulan Ranau Busker yang juga johan Sugandoi Kaamatan Ranau 2018, Nadia Donatus menerusi beberapa buah lagu turut menyerikan lagi majlis pada malam itu.

Majlis yang merupakan acara tahunan di sekolah itu telah dirasmikan Ahli Parlimen Ranau yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, Jonathan Yasin.
Sebagai gimik perasmiam, Jonathan diiringi Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) SJK (C) Pai Wen, Alldem Chia telah memalu gendang disusuli upacara Lau Shang yang merupakan hidangan wajib setiap kali meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarga. Bagi masyarakat Cina ianya merupakan simbolik kepada kebahagiaan, kesihatan, kejayaaan dan kekayaan.

Tradisi pemberian angpau setiap kali tiba perayaan Tahun Baru Cina turut diadakan pada majlis itu khusus kepada kanak-kanak dan golongan warga emas yang hadir. Angpau kepada warga emas disumbangkan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Karanaan, Awassi Tan Sri Abdul Ghani Gilong, manakala angpau untuk kanak-kanak, sumbangan pihak penganjur. Jonathan turut mengumumkan sumbangan kepada Persatuan Peranakan Tionghua Ranau dan Persatuan Hokkien Ranau. Masing-masing akan menerima sumbangan berjumlah RM10,000.00
Terdahulu, Jonathan dalam ucapannya memuji pihak sekolah atas inisiatif serta kejayaan menganjurkan majlis tersebut yang dilihatnya hasil daripada kerjasama semua pihak terlibat iaitu Lembaga Pengelola (LPS) SJK(C) Pai Wen, Persatuan Peranakan Tionghua Ranau dan Persatuan Hokkien Ranau.

Beliau juga memuji usaha Pengerusi LPS sekolah itu, Alldem Chia atas keprihatinan serta tindakan-tindakan proaktif beliau dalam usaha memajukan SJK(C) Pai Wen yang merupakan satu-satunya sekolah aliran Cina di daerah Ranau.
”Syabas dan tahiah saya ucapkan kepada anggota Lembaga Pengelola Sekolah, SJK (C) Pai Wen dibawah kepimpinan pengerusinya, Alldem Chia kerana begitu komited memajukan sekolah ini demi masa depan dan kelangsungan akademik anak-anak.

”Pujian juga harus diberikan kepada masyarakat Cina khususnya di daerah ini yang telah menyumbang wang ringgit dari jumlah yang kecil sehinggalah ratusan ribu ringgit bagi pembinaan bangunan sekolah ini, dan berharap usaha-usaha murni seperti ini berterusan.
”Pembinaan fasa pertama bangunan baru sekolah telah dilaksanakan dan kini diteruskan dengan pembinaan bangunan fasa kedua yang sedang berjalan. Dana kewangan kerajaan yang telah disalurkan dalam pembinaan bangunan ini telah digunakan sebaiknya, syabas dan tahniah sekali lagi,” katanya.

Turut hadir memeriahkan majlis, PPM Karanaan, Awassi Tan Sri Ghani Gilong, PPM Paginatan, Hisyamuddin Harun, Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Majus Munsing, Pengerusi Persatuan Hokkien, Tee Giok Moi, Penasihat LPS, Kapitan Chong Pok Lon @ Abdul Halik Chong, Guru Besar, SJK (C) Pai Wen, Sen Ting Feng ahli-ahli Persatuan Peranakan Tionghua, Hokkien dan ahli LPS.Acara diakhiri dengan pertunjukkan bunga api dan pelepasan tanglung ke udara oleh para tetamu jemputan khas. –TAMAT–