Oleh: Salwah Aramat / AJS
RANAU: Rakyat pelbagai kaum dan agama di Sabah khusunya masyarakat tempatan adalah dijemput ke Majlis Rumah Terbuka Krismas UPKO pada 25 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Abidin Madingkir dalam satu kenyataan media pada Khamis berkata, majlis tersebut akan diadakan di Dewan Masyarakat Ranau bermula jam 11.00 pagi hingga jam2.00 petang.

Katanya, Ranau telah diberi penghormatan sebagai tuan rumah untuk menganjurkan acara tahunan itu pada tahun ini.
“Pelbagai acara telah disusun atur untuk memeriahkan suasana majlis termasuk cabutan hadiah pengunjung bertuah.
“Majlis itu nanti turut diserikan dengan persembahan lagu-lagu Krismas dikalangan artis tempatan, persembahan koir dan upacara memotong kek Krismas,” katanya.

Abidin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan berkata, beberapa pemimpin termasuk menteri-menteri kabinet negeri Sabah dijangka turut hadir.
“Kita juga mengalu-alukan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri untuk hadir seterusnya sama-sama meraikan Rumah Terbuka Krismas UPKO 2019,” katanya.
Jelas Abidin, selain menikamti juadah yang dihidangkan serta menyaksikan pelbagai persembahan, majlis itu juga adalah kesempatan terbaik untuk beramah mesra sesama sendiri dan lebih daripada itu, ianya merupakan landasan penting mengeratkan hubungan silaturahim tanpa mengira kaum, anutan agama dan ideologi politik.-TAMAT-