Oleh: MARRYAN RAZAN
KOTA KINABALU: Lebih 3,000 pengunjung dijangka menghadiri Majlis Rumah Terbuka (MRT) Krismas dan Tahun Baru 2020 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, di Kadamaian Square Taginambur, Kota Belud, bermula jam 9 pagi, pada 16 Januari ini.
Sempena sambutan Krismas dan Tahun Baru itu, turut diadakan Perasmian Dewan Kadamaian Square yang siap hujung tahun lalu dan Pelancaran Pelan Pembangunan Kadamaian 2020 – 2035.
Majlis itu dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal dan akan dihadiri menteri-menteri kabinet negeri Sabah.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Adun Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata pelbagai acara menarik telah disusun sempena majlis itu antaranya persembahan artis-artis tempatan, pameran pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta jualan hasil pertanian masyarakat setempat.
“Antara artis jemputan yang akan memeriahkan majlis itu ialah Rosario Bianis bekas juara Bintang RTM 2016 dan Juara Pertandingan Nyanyian Asean Song Contest 2019, Felix Agus, Debra Sia juara Sugandoi Kaamatan Negeri 2019, S.Willy dan Elica Paujin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Pengerusi Penganjur sambutan itu berkata, majlis rumah terbuka itu diadakan setiap tahun bertujuan untuk beramah mesra dan mengeratkan silaturahim diantara para pemimpin dan rakyat terutamanya masyarakat Kadamaian.
“Oleh itu saya menjemput dan mengalu-alukan orang ramai untuk hadir bersama-sama memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru peringkat DUN Kadamaian.
“Pihak penganjur turut menyediakan pelbagai hadiah menarik untuk pengunjung bertuah, antaranya barangan elektrik, dapur dan hamper,” katanya.
Mengenai dewan itu Ewon berkata, ia dilengkapi kemudahan pentas, bilik tetamu, bilik stor, tandas awam dan platform tangki air, kemudahan parking konkrit tambahan, jalan konkrit tamu dan kemudahan meja kerusi.
“Keseluruhannya melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Ketua Menteri Sabah seperti yang beliau umumkan semasa Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru Kadamaian awal tahun 2019.
“Dewan ini akan memberi manfaat kepada para peniaga tamu mingguan dan pengunjung Tamu Taginambur serta acara-acara besar di Kadamaian termasuk majlis perkahwinan, hari keluarga, konsert, pameran dan sebagainya,” katanya.
Ewon turut merancang untuk membina Walai Kadamaian (Pusat Pelancongan dan Kebudayaan Kadamaian) dan Kompleks Keusahawanan Desa Kota Belud di kawasan Mukim Taginambur sebagai pusat ekonomi kawasan ini. –TAMAT–



