MUSNAH…keadaan rumah dan kereta yang musnah dalam kebakaran, di Kampung Kerupang Tiga, malam Khamis.
LABUAN: Sepasang suami isteri bersama dua lagi saudara lelaki pasangan berkenaan terselamat apabila rumah kayu tempat mereka menumpang teduh musnah dalam satu kebakaran di Kampung Kerupang Tiga, malam Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, ketiga-tiga lelaki Pain Ayong 68 (pemilik rumah), Bohari Nawawi, 71 dan Kahar Osleh, 70 tidak berada di dalam rumah. Bagaimanapun isteri Pain Ayong, Rusia Simbou, 67 tahun yang berada dalam rumah bernasib baik kerana sempat melarikan diri selepas menyedari rumah mereka dijilat api.
Turut musnah 100 peratus dalam kejadian itu ialah sebuah kereta jenis Mitsubishi Sedan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wilayah Persekutuan Labuan, Ismaidi Ismail dalam satu kenyataan berkata, anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kira-kira jam 7.09 minit malam.

“Tiga buah jentera bersama 16 anggota dari Balai Bomba Kampung Jawa dan Balai Bomba Labuan yang diketuai oleh Ketua Balai Bomba Kampung Jawa, Penolong Pegawai Bomba Riham Abdollah telah bergegas kelokasi kejadian.
“Setibanya dilokasi didapati api sedang marak menyambar rumah kayu tidak kekal dan kerja kerja pemadaman segera dilakukan bagi mengawal api terus tidak merebak kekawasan lain” katanya.
Ismaidi berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sepeunuhnya pada jam 8.20 malam punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Turut membantu dalam kerja kerja memadan dan menyelamat Bomba Sukarela Kampung Negalang.