Kelihatan asap tebal dari lokasi rumah yang terbakar.
LABUAN: Rumah dua tingkat keluarga ahli Puteri UMNO Cawangan Pantai musnah 50 peratus dalam satu kebakaran di Lorong 11, Kampung Pantai di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian sekitar pukul 2 petang itu, tingkat atas rumah separuh kekal itu musnah terbakar, manakala di bahagian bawah terselamat daripada di jilat api.
Menurut ahli Puteri UMNO itu, Amaliyana Abindi, 35, ketika kejadian beliau sedang menjalani latihan bersama Pasukan Simpanan Sukarelawan Tentera Laut Di Raja Malaysia (PSSTLDM) di Jalan Tanjung Purun.
Katanya, beliau hanya mengetahui rumah milik ayahnya itu terbakar selepas dihubungi oleh anaknya 30 minit kemudian.
“Saya hanya mengetahui kebakaran itu selepas dihubungi oleh anak saya… lalu terus bergegas pulang kerumah, namun sampai di rumah saya dapati bahagian atas rumah kami sudah terbakar” katanya ketika dihubungi.
Amaliyana bersama dua anaknya yang tinggal di bahagian atas rumah itu bersyukur kerana terselamat dalam kejadian tersebut.
“Memang terasa sedih, terutama memikirkan kelengkapan persiapan raya yang baru dibeli termasuk pakaian anak-anak semuanya musnah terbakar.
“Namun saya bersyukur kerana dua anak saya selamat dalam kejadian yang tidak diingini itu” katanya.
Manakala ayahnya Abindi Samat, 62, bekas guru di SK Membedai bersama ibunya Sarimah Bungso juga bekas guru di SK Kerupang yang ketika kejadian berada di rumah turut terselamat tanpa mengalami sebarang kecedraan.
Amaliyana bersama anak dan ayah serta ibunya tinggal ditingkat atas yang menempatkan ruang tamu dan bilik tidur, manakala bahagian bawah merupakan ruang dapur dan bilik rehat.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Pemyelamat Labuan, Abdul Rahman Ali berkata, 17 anggota membabitkan Balai Bomba Sentral bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan dari dari orang awam sekitar 2.15 petang.
Turut membantu menyelamat dan memadam kebakaran itu balai bomba Layangan dan balai bomba Rancha-Rancha.
Abdul Rahman berkata, kebakaran itu melibatkan sebuah rumah dua tingkat separuh kekal di mana 50 peratus bahagian atas rumah tersebut musnah terbakar, manakala bahagian bawah berjaya diselamatkan daripada terbakar.
Abdul Rahman berkata, operasi menyelamat dan memadam kebakaran ditamatkan pada jam 5.45 petang, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan.