SIMBOLIK…Bashir (tiga dari kiri) bersama tetamu jemputan khas melepaskan belon helium gergasi simbolik pelancaran sambutan Ulang Tahun RTM ke 75 peringkat Labuan.
LABUAN:Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias berkata, RTM yang dibangunkan oleh kerajaan sejak 75 tahun lalu terus unggul dalam menyampaikan maklumat sahih dan tepat kepada rakyat.
Katanya, RTM telah memainkan peranan yang lebih besar bukan sahaja dalam menyebar luas dasar kerajaan tetapi juga menjadi platform dalam melahirkan bakat dan produk yang kreatif sebagai usaha menarik minat generasi masa kini dan golongan muda untuk terus memilih siaran RTM.
“Malah dengan adanya teknologi masa kini seperti internet, kini RTM sudah boleh ditonton, didengar dan dicapai di seluruh dunia.
“Hari ini, RTM terus unggul dan telah pun 75 tahun bertindak sebagai peneraju utama menyiarkan informasi tepat dan sahih kepada masyarakat, malah boleh ditonton, didengar dan dicapai di seluruh dunia” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun RTM ke 75 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di perkarangan bangunan KKMM di sini, pada Khamis.

CENDERAHATI….Bashir (tengah), Rithuan menerima cenderahati daripada Aminah .
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail, Pengerusi Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) dan Pengarah Jabatan Penyiaran Wilayah Persekutuan Labuan, Aminah Samsudin Mohd.
Pelbagai pengisian telah diadakan sempena sambutan tersebut antaranya perlepasan Belon Helium gergasi yang diadakan serentak di 15 buah lokasi seluruh negara, pelancaran logo baharu RTM Labuan, tayangan klip vedio lagu khas RTM serta pelancaran Setem Hari RTM ke 75.
Bashir turut melancarkan LABUANfm Virtual Fub Run sejauh 7.5 km tanda simbolik 75 tahun RTM sebagai stesen penyiar negara.