JOHAN …RS Team muncul juara Kejohanan Bola Sepak di Padang Sinarut Baru, Ranau, dan menerima hadiah yang disampaikan oleh Datuk Jonathan (tengah) sambil disaksikan para jemputan.
Oleh: Salwah Aramat
RANAU: Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Unifi Cup yang dianjurkan dengan kerjasama Unifi dan Clasico Ranau berlangsung di Padang Kampung Sinarut Baru, baru-baru ini, dengan penyertaan menggalakkan daripada pasukan tempatan.
Sebanyak 16 pasukan menyertai kejohanan tersebut, mencerminkan sambutan hangat dalam kalangan peminat bola sepak di daerah ini.
Antara pasukan yang mengambil bahagian ialah RS Team, Matra FC, JAF B, Sinar Villa, Liwagu FC, Ranau Frenz, Bindrow, Langanan FT, SIGAP FT, Tinanom F, Black Pantera, Cemilan Warisan FT, JAF A, Pia Hitam FC, R&J FT dan Thunder FC.
Turut memeriahkan kejohanan ialah penyertaan pasukan Unifi dan Parlimen Team, yang menambahkan lagi semangat persaingan.

SYABAS….Matra FC dinobatkan sebagai naib juara selepas mempamerkan aksi penuh semangat, sekali gus membawa pulang pingat serta baucar kemenangan.
Seawal jam 6 pagi, pasukan-pasukan mula hadir bagi sesi pendaftaran sebelum taklimat pengurus pasukan diadakan bagi memastikan kelancaran pertandingan.
Perlawanan peringkat kumpulan bermula seawal jam 7 pagi. Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin, tiba pada jam 8 pagi sebelum menyempurnakan gimik perasmian sejam kemudian.
RS Team muncul juara selepas menewaskan 15 pasukan lain, sekali gus membawa pulang medal, piala serta baucar bernilai RM1,000. Matra FC pula muncul naib juara dengan menerima medal dan baucar RM800, manakala tempat ketiga dimenangi JAF A yang turut membawa pulang medal serta baucar RM500.
Perlawanan akhir berlangsung pada jam 4.30 petang, diikuti majlis penyampaian hadiah pada jam 5 petang, sekali gus menutup tirai kejohanan yang berjalan lancar dan penuh semangat kesukanan.



