SIMBOLIK… Rozman (dua kanan) menyerahkan bantuan Kit Makanan kepada Nor Abizah (tiga kanan) mewakili Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan.
LABUAN: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli mengotakan janji beliau untuk terus menghulurkan bantuan berupa Kit Makanan kepada Jawatankuasa Penyelaras Bantuan Makanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Labuan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Pendamik Covid 19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Pada Khamis, Rozman sekali lagi menyerahkan sebanyak 200 Kit Makanan yang diisi dengan pelbagai jenis makanan harian termasuk produk makanan yang dihasilkan oleh penduduk tempatan seperti kueh Bahulu, kueh Sapit dan ikan bilis kering.
Rozman dalam kenyataan ringkasnya mengucapkan penghargaan terima kasih kepada kerajaan negeri Sabah kerana membantu beliau mendapatkan peruntukan untuk membantu penduduk Labuan khususnya yang terjejas dengan pendamik Covid 19.
Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada syarikat swasta, ahli korporat, individu dan pertubuhan kebajikan dan sukarelawan dan Perbadanan Labuan yang sama-sama menghulurkan bantuan bagi memastikan penduduk Labuan yang terkesan Covid 19 dan PKP tidak terputus bekalan makanan.
Sementara itu majlis penyerahan bantuan itu telah diserahkan sendiri oleh Rozman kepada wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan, Nor Abizah Tadin yang diadakan di kediaman rasmi Rozman di Jalan Tanjung Bendera. TAMAT