JOHAN…. Pasukan Royal Team bersama hadiah yang dimenangi
Labuan: Pasukan Royal Team menjadi juara pertandingan futsal sempena Program Fit Malaysia 2023 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Gelanggang Futsal Perbadanan Labuan, pada Ahad.
Pasukan Royal Team yang dibarisi hampir keseluruhan pemain pasukan bola sepak Labuan menewaskan pasukan Sun Wukong 77 dengan jaringan 2-0 pada perlawanan akhir sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan medal.
Pasukan Sun Wukong 77 yang terpaksa berpuas hati untuk bergelar naib juara menerima hadiah wang tunai RM700 dan medal.
Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Sun Wukong 88 selepas menewaskan pasukan Chile FC 2-1 pada peringkat penentuan tempat ketiga dan keempat.

NAIB JOHAN….Pasukan Sun Wokung 77 menerima hadiah yang disampaikan oleh Sophian.
Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA), Sophian Mohd Said.
Pertandingan Futsal yang disertai 36 pasukan merupakan salah satu aktiviti sukan yang dianjurkan oleh Jabatan belia dan Sukan (JBS) Labuan sempena Program Fit Malaysia 2023.



