28 C
Kota Kinabalu
Jumaat, September 29, 2023
ADVERTISEMENTspot_img

Robert Tawik: warga pendidik, guru merupakan benteng, tulang belakang Kerajaan.

Robert menyampaikan sijil penghargaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Aizan Samali.

KENINGAU:Warga pendidik atau guru merupakan benteng dan tulang belakang Kerajaan.

Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, justeru itu golongan ini perlu bekerja dengan penuh semangat,  memberikan yang terbaik, supaya anak didik dapat terus menikmati dan memperolehi faedah serta manfaat sebagaimana yang dihasratkan oleh Kerajaan. 

Katanya, Kerajaan Sabah sentiasa menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia memenjadikan anak bangsa khususnya anak-anak Sabah cemerlang dalam pendidikan supaya slogan “Sabah Maju Jaya” menjadi kenyataan. 

“Imej Kerajaan, Kementerian dan seluruh warga Malaysia hendaklah sentiasa dipelihara. Sama-sama kita cerminkan keperibadian kita, dengan asas yang digariskan oleh agama. Sebagaimana Sabda Nabi Muhammad S.A.W, mafhumnya, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik” katanya semasa berucap sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)Pejabat Pendidikan Daerah Keningau yang berlangsung di Taman Bandukan River Side semalam.

Seramai 257 orang terdiri dari guru sekolah menengah, sekolah rendah dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP)menerima APC pada majlis itu.

Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor berkata, pencapaian negara pada hari ini, adalah hasil daripada penggubalan dasar-dasar yang pragmatik dan mesra rakyat oleh kepimpinan Kerajaan, dengan sokongan serta kerjasama penjawat awam termasuk warga pendidik.

Beliau berkata, asas yang dipaksikan di dalam Perlembagaan Negara adalah kesetiaan kepada Raja dan Negara, serta Kerajaan yang memerintah (Government of the day). 

Oleh itu katanya, semangat cintakan Negara perlu disemarakkan dalam melaksanakan tugas sebagai penjawat awam dengan penuh dedikasi tanpa membelakangkan kepentingan Negara.  

Mengenai majlis itu Robert berkata,  akan dapat menggalakkan pegawai dan kakitangan kerajaan untuk terus  memberikan komitmen, mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja yang berkualiti tinggi.  

“Kita harus menyahut cabaran ini, dengan mewujudkan persaingan yang sihat dalam membuktikan keupayaan diri masing-masing dan secara tidak langsung, akan mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, khususnya menerusi produk serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh Kementerian kepada semua kumpulan sasar” jelasnya.

Pada masa sama  Robert berharap, agar pengiktirafan dan penghargaan seumpama ini, dapat melonjakkan motivasi kepada tuan-tuan dan puan-puan, untuk menjadi 

‘insan pendidik’ yang bersahsiah, berkualiti, seterusnya menjadi role model dan mentor terbaik kepada rakan sekerja yang lain.  

Tambahnya, anugerah ini bukan sekadar pendorong  atau  pengiktirafan,  bahkan dalam skop yang lebih luas, ia menjadi nadi penggerak, dan peneraju kepada perubahan positif, dalam membudayakan kecemerlangan di tempat kerja khususnya di peringkat Pejabat Penddikan Daerah Keningau. 

Robert juga amat berharap agar budaya dan momentum kecemerlangan ini, akan dapat diteruskan dan menjadi teras kepada, budaya kerja cemerlang dan berintegriti demi kemajuan dan kemakmuran Negara. 

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Keningau Masly bin Wahip, Pengarah Kolej Vokasional Keningau 

Johari Jaibet Sabin,Yang DiPertua Majlis Guru Besar Daerah Keningau Sakim Ibrahim,Timbalan-timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Keningau, Pengetua dan Guru Besar Daerah Keningau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN