KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin yang berjaya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden kouta Bumiputera Islam Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) meneruskan tekadnya bersama Presiden parti Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Robert penyandang jawatan itu musim lalu ditentang oleh ADUN Liawan Datuk Annuar Ayub penyandang jawatan Naib Presiden kouta Bumiputera Islam sebelum ini.
Menurut Robert, kejayaan beliau mempertahankan jawatan itu bukanlah satu kebanggaan tetapi ia merupakan landasan bekerja untuk parti terutama dalam memperjuangkan MA63.
“Saya akan meneruskan program turun padang menemui ahli-ahli parti di akar umbi yang menjadi tunjang kekuatan parti” katanya.
Pembantu Menteri Kerja Raya itu berkata, beliau akan bersama-sama dengan barisan kepimpinan tertinggi memperkasakan parti.
Beliau berkata, perjuangan parti untuk menuntut hak-hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam MA63 yang dituntut oleh rakyat Sabah melalui Pemimpin-pemimpin Kerajaan belum selesai.
“Inilah juga yang menjadi agenda perjuangan parti STARSABAH sejak ia ditubuhkan, semasa dalam pembangkang dahulu pun inilah perjuangan kita sehinggalah pada hari ini” jelasnya.
Pada masa sama Robert menghargai kepercayaan yang diberikan oleh perwakilan kepadanya untuk meneruskan tanggungjawab sebagai salah seorang daripada tiga Timbalan Presiden parti.
Katanya, beliau bersama Timbalan Presiden (Bumiputera Bukan Islam) Datuk Ellron Angin dan Timbalan Presiden (Cina) Datuk Kenny Chua akan terus membantu Presiden dalam perjuangan parti yang menjurus kepada kepentingan dan hak-hak rakyat Sabah.
Pada Mesyuarat Perwakilan Tri Tahunan Parti Solidariti Tanah Airku Sesi 2024-2027 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu pada 22 Jun itu, Robert yang memperolehi 188 undi menewaskan pencabarnya Annuar yang mendapat 173 undi.
Dua jawatan Naib Presiden kouta Bumiputera Bukan Islam (BBI) masing-masing dimenangi oleh Datuk Abidin Madingkir dan Suling Isib
Sementara itu Naib Presiden bagi kouta BI dimenangi oleh Apas Nawawie Saking dan Lin Bin Hj Harun manakala Naib bagi kouta Cina dimenangi oleh Kong Soon Choi dan Beverly Natalie Koh.
Mereka yang menang dalam jawatan Ahli Majlis Tertinggi (ÀMT) Pusat
Evaristus Gungkit, Ir TS Jovilis Majami Suzy Lojimit, DS Raplin Samat, Alviana Linus, Datuk Anita Baranting, Fung Len Fui dan Maklin Mansiau.