Robert Salurkan Bantuan Kepada SJKC Ken Hwa.

Home Tempatan Robert Salurkan Bantuan Kepada SJKC Ken Hwa.
Robert Salurkan Bantuan Kepada SJKC Ken Hwa.

Daniel (empat kiri) ketika menyampaikan sumbangan tersebut bagi mewakili Robert kepada Chong Nyuk Choon (empat kanan).

KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik menyalurkan bantuan kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) Ken Hwa, di sini.

Bantuan berupa wang tunai, penutup hidung dan mulut (mask), cecair pembasmi kuman dan bakul makanan itu disampaikan oleh Ketua Daerah, Daniel Palangi bagi mewakili Robert kepada pihak sekolah SJKC Ken Hwa, di sini hari ini.

Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor ketika dihubungi berkata, sumbangan itu bagi membantu meringankan beban pihak sekolah tersebut dan seterusnya membantu melancarkan lagi urusan pencegahan COVID-19 kepada pelajar dan guru-guru ketika berada di sekolah.

“Saya akan membantu dan menyokong sebaiknya sebagai usaha melindungi pelajar dan pihak sekolah daripada penyakit ini dan memberi keselesaan kepada mereka untuk menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah dengan suasana yang selesa dan selamat.

“Saya juga berharap agar pihak pengurusan sekolah akan dapat melaksanakan usaha-usaha pencegahan yang ketat dan suasana yang selamat untuk sesi pengajaran dan pembelajaran seperti dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau juga berharap kepada pelajar agar sentiasa mematuhi SOP bagi memastikan tiada penyebaran penyakit COVID-19 berlaku di sekolah khususnya di sekolah tersebut.

Terdahulu, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr. Mistirine Radin menyatakan bahawa terdapat seramai 16,328 pelajar di seluruh negeri ini mengikuti sesi persekolahan bersemuka yang bermula pada 4 Oktober lalu.

Terdapat empat kumpulan pelajar sahaja yang akan memulakan sesi persekolahan bersemuka berikutan Sabah masih berada pada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kumpulan berkenaan termasuklah pelajar tingkatan enam atas, murid berkeperluan khas, pelajar pra universiti semester tiga di Sekolah Sukan Malaysia Sabah dan murid mengambil peperiksaan antarabangsa.

Hadir sama pada penyampaian itu, Ketua Masyarakat Cina, Frankie Fong, Jack Chen, Yong Wing On dan Pengetua SJKC Ken Hwa, Chong Nyuk Choon.