Robert (dua dari kanan)semasa melawat lokasi pembinaan menara telekomunikasi di Kampung Sungoi.
KENINGAU:Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin berharap pembinaan 12 Menara Telekomunikasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)Bingkor berjalan lancar.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, beliau akan memastikan pelaksanaan kemudahan ini akan terus berjalan dengan lancar, tidak terganggu dan siap mengikut masa yang telah ditetapkan atau lebih awal daripada itu demi kebaikan penduduk di kawasan ini.
Beliau berkata demikian semasa bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melawat antara 12 lokasi Pembinaan Menara Telekomunikasi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Bingkor dibawah Inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada Selasa.
Katanya, pembinaan 12 Menara Telekomunikasi tersebut sudah dimulakan sejak awal tahun ini dan sebuah menara telekomunikasi telah pun siap dibina dan selebihnya akan dijangka siap sehingga awal tahun hadapan.
Jelas Robert, menara telekomunikasi ini dibina di 12 lokasi iaitu di Kampung Tiga Apin-Apin, Kampung Matanoi, Kampung Pangas Ulu, Kampung Takad Baru Apin-Apin, Kampung Sungoi Apin-Apin, Kampung Kirokot Baru, Kampung Tohan Baru, Kampung Liau Ulu, Kampung Bunga Raya, Kampung Kuangoh, Kampung Tuntumulud dan Taman.
“Seperti yang kita tahu bahawa DUN Bingkor ini masih banyak kawasan yang tidak mempunyai kemudahan ini dan diharapkan dengan beroperasinya 12 menara telekomunikasi ini akan memberi lonjakan penyediaan kemudahan jaringan telekomunikasi yang lebih baik serta banyak memberi manfaat kepada masyarakat setempat” katanya.
Pada masa sama Robert merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah meluluskan sebanyak 12 menara telekomunikasi ini demi kesejahteraan, kemudahan dan pembangunan penduduk di DUN Bingkor.