KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM70 juta kepada badan-badan keagamaan bukan Islam, sekolah-sekolah mubaligh dan persendirian di negeri ini pada tahun 2025.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata peruntukan pada tahun hadapan meningkat sebanyak RM13.25 juta berbanding pada tahun 2024 iaitu RM56.75 juta.
“Saya berharap bantuan itu dapat meringankan beban kewangan pihak sekolah dan badan-badan keagamaan yang terlibat dalam usaha memastikan fasiliti sentiasa berada dalam keadaan kondusif, selamat dan selesa.
“Kerajaan Negeri komited dan sentiasa mengamalkan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini,” katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Sambutan Perayaan Krismas Kota Kinabalu (KKCC) Tahun 2024 di Padang Merdeka pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G.Kitingan.
Hajiji turut menyeru kepada semua masyarakat terus mengekalkan keamanan, keharmonian dan kesefahaman yang dinikmati oleh rakyat pelbagai kaum di Sabah dan terus menjadi contoh di negara ini dan keharmonian di kalangan masyarakat adalah nadi kepada kejayaan aspirasi Kerajaan Sabah Maju Jaya.
“Saya yakin sambutan Perayaan Krismas yang diadakan selama 4 hari ini adalah pemangkin kepada kesefahaman dan keharmonian antara pelbagai lapisan masyarakat saya berharap semua aktiviti yang dijalankan di sepanjang sambutan ini diterima dan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua golongan masyarakat.
“Sambutan KKCC kali yang Ke-19 tahun ini bertemakan ‘Kasih Melalui Tindakan’ (Love in Action) amat tepat khususnya di negeri Sabah yang mempunyai rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Tema itu amat disokong kerana ia mendorong kita untuk saling mengasihi sesama bukan hanya setakat bercakap mengenai kasih tetapi menterjemahkan dan menunjukkan kasih itu melalui tindakan. Kasih di kalangan masyarakat pelbagai suku, bangsa dan agama ini amat penting untuk kesejahteraan, kemakmuran dan keamanan negeri Sabah yang kita cintai ini.
“Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan bekerja keras agar negeri ini terus maju jaya dan selamat menyambut Hari Krismas kepada semua masyarakat Kristian dan selamat Tahun Baru 2025 kepada seluruh rakyat negeri ini,” ujar beliau.
Dalam majlis tersebut, KKCC 2024 telah mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR)dengan pencapaian pengagihan kalung manik buatan tangan terbanyak iaitu sebanyak 10,000 kalung manik diedarkan secara percuma kepada orang ramai.
Hadir sama,
Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya, Timbalan Speaker, Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Al Hambra Juhar, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, Presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC), Bishop Datuk Melter Jiki Tais dan Pengerusi bersama KKCC 2024, Panatua Profesor Dr. Jidon Janaun. -Penerangan-