Rhowell lebih fokuskan kepada penghayatan kerana beliau mahu pendengar benar-benar merasai nyanyiannya
PENYANYI tempatan, Rhowell Rolland Pagi kembali memperjuangkan lagu single terbaru beliau berjudul “Poboroso Kuma Doho” yang membawa maksud “Katakanlah Padaku” di dalam muzik tanah air.
Hadir dengan segunung harapan, Rhowell berharap agar lagu hasil ciptaan Rexynoell J Gerard dan Denno Roy Jamil akan memenuhi kehendak para peminat beliau.
Sebelum lagu single terbaru Rhowell ini ada beberapa lagu single lagi yang Rhowell rakamkan antaranya, Tondu Tolumis (2017), Jangan (2018) dan Aku (2018). Kesemua lagu tersebut adalah hasil ciptaan Josue Lintanga di Borneo Tamuya Production.
Menurut Rhowell, dia tidak pernah lelah berusaha dan percaya akan rezeki yang tertulis. Proses rakaman untuk lagu single terbaru Rhowell hanya memakan masa selama sehari sahaja dan begitu juga video klip lagu “Poboroso Kumaa Doho”.
Untuk lagu terbaru ini Rhowell lebih fokuskan kepada penghayatan kerana dia mahu pendengar benar-benar merasai nyanyian beliau.
Bagi beliau itu lebih penting kerana dia mahu nyanyiannya lebih seimbang, pada masa yang sama menyentuh hati ramai pendengar.
“Apa yang membanggakan saya ialah dapat berduet dengan penyanyi tersohor Malaysia iaitu Datuk Syafinaz Selamat di UMS pada November tahun 2021, selain mendapat ‘butang suka’ daripada ketiga juri professional iaitu David Foster, Anggun dan Jay Park bagi rancangan Semifinalist Asia’s Got Talent musim ke-2 pada tahun 2017,” kata beliau.
Rhowell Rolland muncul dengan lagu single terbaru beliau berjudul Poboroso Kuma Doho
Beliau berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan juga peminat yang sentiasa memberi kata perangsang dan semangat untuknya terus berkarya.
Dengan trend era media sosial sekarang, perjalanan seorang anak seni itu memang sangat mencabar tetapi beliau sentiasa positif, peka dengan komen yang diberikan dan sentiasa berusaha memperbaiki dan menerima kekurangan diri.
Walaupun Rhowell acapkali menerima jemputan untuk menjadi juri pertandingan nyanyian serta mengajar vokal di seluruh pelusuk negeri Sabah hingga lah ke Sarawak dan dijemput untuk menjadi tetamu jemputan (selebriti) di RTM dan Okay TV, Rhowell tidak pernah sombong atau meninggi diri.
Perwatakan beliau yang mudah tersenyum dan mesra dengan sesiapa sahaja begitu disenangi oleh rakan-rakan artis yang lain begitu juga peminat.
Beliau akan muncul dalam satu program kolaborasi Bersama dengan Sylviana Viana Saiki (juga salah seorang pengiat seni tempatan Sabah) iaitu Bengkel Vokal dan Bengkel Penjurian Lagu bakal diadakan pada 20 April 2024 di daerah Ranau.
Ke hadapan, Rhowell juga merancang untuk menyatukan kesemua lagu single miliknya menjadi satu album. Beliau sangat berharap lagu Poboroso Kumaa Doho menjadi pilihan untuk dimainkan di stesen-stesen radio.
“Doakan semoga usaha terbaharu saya membuahkan hasil kerana saya memasang impian untuk melakar kejayaan besar dalam bidang yang saya minati dan cintai ini,” katanya.
Untuk rekod, Rhowell mempunyai muzik studio yang terletak di Daerah Tuaran, Sabah yang dikenali sebagai Fortissimo Music Studio, Rhowell juga adalah seorang guru vokal dan piano juga Pensyarah Ensemble Vokal di UITM, Kota Kinabalu.