Oleh: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki tempatan yang dikhuatiri hilang dalam ladang kelapa sawit dekat Kampung Kirokot di sini Jumaat lepas dipergiat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib, berkata pencarian dilalukan dalam lingkungan 10 kilometer dari lokasi mangsa mula-mula dilaporkan hilang.

Katanya, operasi SAR turut disertai anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan lebih 40 penduduk kampung dari Kg.Kirokot dan Kg.Poring.
Bagaimanapun katanya, mangsa gagal dijumpai sebelum operasi SAR ditangguhkan jam 6 petang tadi disebabkan keadaan gelap dan faktor bentuk muka bumi.
“Operasi SAR akan disambung semula 7 pagi esok (Selasa),” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, Ridwan memberitahu, pihaknya telah menerima panggilan mengatakan ada mangsa dilaporkan hilang di Kg.Kirokot, dalam kawasan ladang sawit.
Menurut beliau, laporan awal yang diterima, mangsa berumur 19 tahun dan dikenali sebagai Atliano Brandon Frederick, dari Kampung Poring.

“Mangsa dikatakan memasuki ladang sawit tersebut bersama tiga rakan lain pada 24 Januari lalu untuk tujuan menombak buah sawit.
“Keesokannya, mangsa tidak turun menombak bersama tiga rakannya dan mengambil keputusan untuk berehat di pondok tempat mereka tinggal dalam kawasan ladang.
“Menurut rakan-rakan mangsa, ketika mereka balik dari menombak kira-kira jam 3 petang, didapati Atliano tiada di pondok dan dikhuatiri hilang,” jelas Ridwan. –TAMAT–



