KOTA MARUDU: Polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang sejak 6 November lalu selepas keluar dari rumahnya di Kampung Bengkongan, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata remaja berkenaan, Siti Nurfazirah binti Asmarullah (gambar), dipercayai keluar rumah kira-kira jam 7 malam dengan memaklumkan kepada ahli keluarga bahawa beliau ingin ke Fun Fair di Pekan Baru Kota Marudu.
“Bagaimanapun, sehingga kini mangsa masih belum pulang ke rumah dan usaha pencarian awal yang dijalankan tidak membuahkan hasil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Siti Nurfazirah merupakan seorang remaja berbangsa Filipino, bertubuh kurus, berkulit cerah, bermata hitam, berkening nipis serta mempunyai rambut hitam panjang paras dada.
Polis Diraja Malaysia meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan atau penemuan remaja itu supaya tampil membantu siasatan.
Orang ramai boleh menghubungi SJN Stephen Wan di talian 019-469 5081, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Marudu di 088-662 449, atau mana-mana balai polis berhampiran.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, sebaliknya menyalurkan maklumat sahih kepada pihak berkuasa demi keselamatan mangsa.



