Robert (enam dari kanan) dan Roger Edward (enam dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama pemimpin masyarakat dan anggota RELA
KENINGAU: Para anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) perlu memainkan peranan menjaga keselamatan di peringkat mukim dan kampung-kampung di sekitarnya.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, anggota RELA kini ada di setiap kampung dan lebih dekat dengan masyarakat kampung.
Justeru itu katanya, peranan mereka amat penting bagi mengesan dan menangani kegiatan-kegiatan yang tidak sihat seperti pengedaran dan penyalahgunaan dadah jenis syabu yang sudah menular di mana-mana.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Penugasan Rondaan Komuniti Rela Tahun 2024 di Dewan Tomuon Aki Tingadon Pekan Bingkor.
Pada masa sama Robert menyeru agar RELA bekerjasama dan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan keselamatan yang lain dalam usaha membentaras kegiatan jenayah di daerah ini terutama kes kecurian yang bukan sahaja berlaku di kawasan perumahan tetapi juga di bangunan-bangunan ibadah seperti masjid, surau dan gereja.
“Melalui rondaan anggota RELA di setiap kampung mungkin kegiatan jenayah seumpama ini dapat diatasi” katanya.
Pada majlis itu Robert menyampai sumbangan kewangan kepada RELA Mukim Bingkor.
Turut hadir Penolong Pegawai RELA Daerah Keningau Roger Edward Mahari, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.40 Bingkor Junior Fred Vincent, Pegawai Pembangunan Masyarakat N.40 Bingkor Tinus Majip, Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, Ketua Perhubungan RELA Kawasan Mukim Bingkor 2 Gilbert Andrew Salabin dan Staf UPPM N.40 Bingkor.



