KONG….Sejak pentadbiran Kerajaan Madani, dilihat tata kelola yang diperkenalkan majoritinya memuaskan hati rakyat. Penjawat awam sedia ada turut menanti apakah keputusan sistem kadar gaji baharu yang masih diperingkat kajian. Jangan kerana nila setitik, maka rosak susu sebelanga.
KOTA KINABALU: Rancangan kerajaan Pusat untuk memansuhkan pencen bagi penjawat awam lantikan baru disifatkan tidak adil kepada golongan itu yang menjadi antara penggerak utama jentera kerajaan.
Ketua Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Kong Soon Choi berkata, rancangan itu sekaligus melemahkan motivasi penjawat awam yang kemudiannya merugikan negara jika ia dilaksanakan kelak.
“Kenapa dasar tidak popular seumpama itu perlu diperkenalkan kepada rakyat dalam waktu mereka berhadapan dengan cabaran ekonomi yang getir ketika ini. Bukankah penjawat awam antara nadi utama yang menggerakkan jentera kerajaan”. Katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kong menjelaskan, Wiramuda Star bimbang populariti kerajaan madani ketika ini dipandang sinis masyarakat khususnya bakal penjawat awam yang kecewa dengan pendekatan tersebut.
“Sejak pentadbiran Kerajaan Madani, dilihat tata kelola yang diperkenalkan majoriti nya memuaskan hati rakyat. Penjawat awam sedia ada turut menanti apakah keputusan sistem kadar gaji baharu yang masih diperingkat kajian. Jangan kerana nila setitik, maka rosak susu sebelanga”. Tegas beliau.
Justeru katanya, Kerajaan Persekutuan perlu menimbang semula cadangan tersebut dan memperkenalkan sistem yang lebih mesra penjawat awam agar golongan tersebut terus komited menjalankan tugas untuk kemajuan negara.
Kabinet dilaporkan telah bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baru kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu pengumuman mengenai tempoh dan tarikh pelaksanaannya akan dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
Beliau berkata, pendirian itu dibuat kerajaan selepas menilai bahawa menjelang 2040, jumlah pencen yang terpaksa ditanggung kerajaan jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda, jumlahnya akan mencecah RM120 bilion setahun.
Jabatan Perkhidmatan Awam ketika ini sedang menerajui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA), yang akan menjadi dasar baru kerajaan khususnya berkaitan kaedah berpencen penjawat awam.
Pengumuman sama turut dibidas oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr. Muhamad Akmal Saleh yang turut mencadangkan bayaran pencen kepada wakli rakyat dimansuhkan lebih dahulu sebelum ia dilaksanakan ke atas kakitangan awam baharu.



