Antara orang ramai yang mengunjungi RFM tersebut
RANAU: Program ‘Ranau Free Market’ (RFM) beri kemudahan kepada penduduk khususnya golongan berkeperluan sekitar daerah ini.
Program anjuaran Jawatatankuasa RFM dengan kolaborsi Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Ranau mendapat sambutan diluar jangkaan apabila lebih 2,000 penduduk memanfaatkannya dengan memilih barangan seperti pakaian dan bahan bacaan secara percuma dan hanya perlu dibayar dengan ‘Senyuman’ dan ‘Ucapan ‘Terima Kasih’ kepada pihak penganjur.
Pegawai JaPen daerah Ranau, Khawla Kenny Thomas Abdullah dan Pengerusi pelaksana RFM, Norlizah Binti Naimin ketika ditemui berterima kasih kepada lebih 100 penyumbang menjayakan program Edisi ke-14 itu yang diadakan di perkarangan Pentas Budaya pekan Ranau baru-baru ini.
Turut menyerikan program RFM yang bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir 1.00 petang itu ialah, persembahan tarian Asli Melayu oleh murid Tahun 4,5 dan 6 SK.Pekan Ranau, Cabutan nombor Pengunjung Bertuah, Kuiz Kenegaraan kendalian JaPen Ranau dan acara Zomba oleh Kelab Zomba daerah Ranau.
Ramai pengunjung yang sempat ditemui memuji usaha Jawatankuasa Penganjur RFM itu kerana memberi ruang dan peluang kepada para penyumbang barangan secara percuma kepada mereka yang memerlukan.
Menurut Khawla, program itu akan diada sekali dalam sebulan tertakluk kepada jumlah penyumbang bahan secara sukarela.