29.1 C
Kota Kinabalu
Selasa, Julai 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Rakyat Telupid merayu kemudahan asas dinaik taraf segera

BANTUAN….Jonnybone menyampaikan bantuan kepada pesakit kronik di Mukim Nangoh, kelmarin.

TELUPID: Rakyat Telupid merayu kepada kerajaan agar pelbagai kemudahan asas di kawasan berkenaan dapat dinaik taraf segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid Jonnybone J Kurum berkata, dalam satu tinjauan diadakan di Mukim Nangoh Telupid, pelbagai rintihan daripada penduduk telah diambil perhatian.

“Antara masalah utama di kawasan ini ialah Jalan Raya Nangoh Maliau sepanjang 16 kilometer yang merupakan satu-satunya jalan perhubungan utama yang menghubungkan kampung-kampung lain dengan Pekan Telupid sangat memerlukan pembinaan jambatan di Sungai Matau Patau dan Sungai Paliu.

“Hal ini kerana Sg Matau Patau dan Sg Paliu sering kali dinaiki air dan mengakibatan jalan perhubungan kampung ke kampung terputus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, masalah berkenaan sudah berlanjutan sekian lama, namun sehingga kini masih belum ada jalan penyelesaian dari pihak berwajib.

Katanya, menurut penduduk kampung, mereka suka untuk memasarkan hasil pertanian dan ramai dalam kalangan murid gagal hadir ke sekolah berikutan masalah berkenaan.

“Disamping itu, terdapat juga kemalangan sehingga meragut nyawa akibat melalui ‘level cross’ di Sg Matau Patau.

“Menurut kejadian yang telah disaksikan sendiri oleh masyarakat di kampung berkenaan, terdapat tiga mangsa menggunakan motosikal telah lemas ketika melintas jalan Sg Matau Patau,” katanya.

Dalam pada itu, Jonnybone turut sempat melawat beberapa penduduk di kawasan berkenaan yang mengalami penyakit kronik seperti masalah buah pinggang.

Beliau memohon agar jabatan berkaitan dapat memberikan bantuan bagi meringankan beban mereka.

“Pesakit ini memerlukan rawatan dialisis tetapi pusat dialisis tidak terdapat di daerah ini.

“Menurut pesakit mereka mengalami kesulitan mendapatkan rawatan di Hospital Duchess Of Kent Sandakan kerana jarak yang jauh dari daerah ini,” katanya.

Selain itu katanya, penduduk di tiga buah kampung seperti Kg Sinaputan,Kg Rumidi Baru dan Kg Pinunakan masih belum dapat menikmati bekelan air bersih. Mereka hanya bergantung dengan air hujan dan air sungai untuk keperluan harian.

Katanya, masyarakat di tiga buah kampung berkenaan memohon agar kerajaan agar dapat membantu menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi sejak sekian lama.

“Selain itu, masyarakat di kawasan ini juga menyuarakan masalah menara telekomunikasi yang sedia ada hanya mampu memberikan kemudahan perkhidmatan pesanan ringkas dan panggilan telefon sahaja.

“Justeru itu, mereka memohon agar pihak kerajaan menaik taraf rangkaian internet 4G melalui program JENDELA yang diumumkan oleh kerajaan agar kemudahan internet kawasan ini boleh berfungsi dengan baik.

“Ia penting supaya murid dan pelajar dapat mengakses pembelajaran secara atas talian dari rumah,” katanya.

Dalam lawatan berkenaan, Jonnybone turut sempat berkunjung ke Tadika Kemas Kg Pinunakan seterusnya memberikan sumbangan.
-end

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN