31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Oktober 6, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Putuskan rantaian Covid-19, patuh PKP, kita pasti menang- Abidin

OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN.

RANAU: “Putuskan rantaian pandemik  Covid-19 dari terus merebak dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata ADUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir.

Menurut beliau, keadaan dan kehidupan  akan kembali pulih seperti sediakala sekiranya orang ramai akur dan patuh perintah dengan menghadkan pergerakan, duduk diam di rumah, menjaga jarak sosial selain sentiasa mengutamakan  kebersihan diri dan keluarga sebagai langkah pencegahan.

Abidin berkata, jika semua orang patuh kepada arahan yang dikuatkuasakan kerajaan dalam usaha membendung sekaligus memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini, tempoh PKP mungkin tidak akan dilanjutkan.

“Percayalah, pertambahan kes Covid-19 yang meningkat setiap hari dalam negara serta  pelanjutan tempoh PKP mampu ditamatkan jika setiap kita bertanggungjawab dan buang jauh sikap ego serta penting diri sendiri.

“Stay at home, kita mesti menang,” ujarnya ketika diminta mengulas setuasi semasa  pandemik Coronavirus (Covid-19) yang kini telah meragut lebih 60 ribu nyawa di seluruh dunia.

Sementara itu, Abidin sekali lagi mengingatkan  pemimpin di peringkat kampung di daerah ini khususnya kawasan Paginatan agar sentiasa menyebarkan kesedaran untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kalangan penduduk.

Jelas beliau, perintah telah diberikan kepada semua pemimpin akar umbi di sini (Dun Paginatan) untuk memastikan tiada lagi penduduk kampung yang ingkar PKP dan dijangkiti virus maut itu.

“Kita perlu mengambil serius perkara ini. Kita telah melihat apa yang berlaku sekarang di negara-negara lain seperti Itali di mana penduduknya tidak serius mengenai virus itu sejak mula menyebar di kawasan mereka.

“Untuk itu, semua Ketua Kampung dan MPKK di kawasan Paginatan harus bekerja bersama dengan pihak berkuasa untuk memastikan semua orang tinggal di dalam rumah (Stay At Home),” gesanya.

Menyentuh berkenaan bantuan untuk penduduk kampung di kawasan DUN Paginatan yang benar-benar terjejas akibat perlaksanaan PKP, beliau memberi jaminan bahawa kebajikan mereka terbela.

Bagaimanapun beliau berharap, mana-mana kampung yang belum menerima bantuan berupa makanan asas harian supaya dapat bersabar.

“Para petugas yang dipertanggungjawabkan kini sedang dan sudah bergerak dari kampung ke kampung untuk menghantar dan mengagihkan bantuan,” jelasnya. –TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN