27 C
Kota Kinabalu
Selasa, Februari 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pusat Pelanggan PPS mula beroperasi di Pekan Baru Sook

Flovia (barisan belakang lima dari kanan)bersama Taitim (empat dari kanan), Paul (empat dari kiri)dan Jyrenus Pagut (tiga dari kiri) bergambar kenangan dengan guru-guru besar yang menerima replika kunci sebagai simbolik penyerahan bagunan dewan dan asrama desa CSR PPS.

SOOK: Penduduk di kawasan Sook, Tulid dan Nabawan, serta kawasan sekitarnya, kini tidak perlu lagi pergi jauh untuk berurusan dengan Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) dengan adanya Pusat Pelanggan PPS yang mula beroperasi di Pekan Baru Sook di sini.

Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Ellron Angin berkata, kewujudan pusat pelanggan ini pasti boleh membantu pelanggan PPS sedia ada dan mereka yang memerlukan bantuan dalam bentuk kemudahan pinjaman kewangan melalui produk dan perkhidmatan yang disediakan atau kebajikan melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PPS tanpa perlu berkunjung ke Pekan Keningau. 

“Saya amat berbangga dan berterima kasih kepada PPS kerana telah menerima saranan saya untuk mewujudkan Pusat Pelanggan PPS di daerah kecil ini.

“Saya berharap kewujudan pusat pelanggan ini akan membantu meningkatkan dan mempercepat pembangunan sosio-ekonomi di daerah kecil ini terutamanya penduduk di sekitar daerah kecil ini dan di sekelilingnya” katanya dalam ucapan Pelancaran Pusat Pelanggan PPS Sook hari ini.

Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Sook berkata, pembukaan pusat pelanggan ini adalah satu kemudahan kepada rakyat khususnya di kawasan Pedalaman seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, yang turut menekankan modal insan dan kesejahteraan rakyat sebagai salah satu teras utamanya.

Justeru katanya, pihak Kerajaan melalui PPS akan memastikan bahawa kesejahteraan rakyat akan terpelihara demi melahirkan modal insan yang berjaya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh ADUN Tulid, Flovia Ng yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah. 

“Sebagai wakil rakyat kawasan Sook dan bagi pihak wakil-wakil rakyat yang berkenaan, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada PPS atas keprihatinan terhadap masyarakat di kawasan-kawasan ini.

“Saya juga mewakili Kabinet Negeri dan Menteri-Menteri sangat berbangga kerana adanya agensi Kerajaan Negeri, seperti PPS yang benar-benar ikhlas, tekun dan penuh iltizam dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya seperti dalam slogan agensi iaitu ‘Profesional, Prihatin dan Sopan’ (PPS).

“Saya berharap semua yang menerima sumbangan, bersyukurlah dan manfaatkanlah kemudahan yang telah diterima dengan sebaik-baiknya,” kata Ellron.

Beliau turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada PPS di atas pencapaiannya bagi Tahun Kewangan 2021 dan berharap agar agensi tersebut akan terus mencapai kejayaan demi kejayaan dan meningkatkan prestasinya setiap tahun serta akan terus membantu membangunkan negeri kita yang tercinta ini.

Selain itu, beliau juga menggesa rakyat, terutamanya di Daerah Kecil Sook, Tulid, Nabawan dan sekelilingnya agar terus melanggani dan menyokong PPS kerana agensi tersebut telah menyumbang kepada negeri secara berterusan sejak 67 tahun yang lalu

Katanya, Pusat Pelanggan Sook merupakan salah satu daripada tujuh Pusat Pelanggan PPS di negeri Sabah yang dibuka untuk meluaskan lagi perkhidmatan dan operasi PPS bagi memberikan penyampaian perkhidmatan berkualiti kepada penduduk negeri Sabah.

Jelas Ellron, empat projek CSR yang telah siap dibina di daerah kecil Sook dan Nabawan iaitu Asrama Desa SK Lanas Sook, Dewan Serbaguna Komuniti Kg. Binakaan Sook, Dewan Serbaguna Komuniti Kampung Karamatoi Sook dan Asrama Desa SK Layon Nabawan.

Pada majlis itu penyampaian tawaran sumbangan bersyarat Dewan Serbaguna Komuniti Kampung Kiulu Baru Tulid turut diadakan. 

Sementara itu, sejumlah  458 unit beg sekolah dan alat tulis turut disumbangkan kepada pelajar-pelajar di sepuluh buah sekolah terdiri daripada SK Malima, SK Binuwou Tengah, SK Binakaan, SK Sinulihan, SK Simbuan, SK Sinaron Tengah, SK Lanas, SK Delayan Tulid, SK Nandangan dan SK Layon Nabawan.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook Paul Isodore, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pinjaman Sabah George Taitim Tulas, Setiausaha Politik Kementerian Belia dan Sukan Jyrenus Pagut dan para Guru Besar sekolah yang terlibat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN