KOTA KINABALU: Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Sabah terus memperkukuh peranannya sebagai jambatan strategik dalam mengembangkan hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara Sabah dan China menerusi penganjuran Majlis Makan Malam Alu-aluan dan Jaringan bagi meraikan delegasi Persekutuan Perindustrian dan Perdagangan Dalian, China.
Presidennya, Datuk Dexter Lau berkata, lawatan balas delegasi dari Dalian itu merupakan kesinambungan kepada hubungan erat yang terjalin hasil kunjungan MCCC Sabah ke bandar berkenaan pada Mei lalu, sekali gus memperkukuh persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua wilayah.
Beliau berkata, MCCC Sabah kekal komited memperluaskan kerjasama Malaysia-China merangkumi pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, hubungan kerajaan, pendidikan, kebudayaan, pelancongan, teknologi serta pembangunan belia.
“Kami berhasrat menjadi jambatan paling kukuh yang menghubungkan Sabah dan China serta mewujudkan lebih banyak peluang kerjasama dan pertumbuhan perniagaan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Menurut beliau, sepanjang tahun ini MCCC Sabah telah menjalinkan hubungan rapat dengan Kerajaan China, kerajaan-kerajaan wilayah dan perbandaran, Persekutuan Perindustrian dan Perdagangan, persatuan perniagaan, perusahaan serta pelbagai agensi kerajaan di Malaysia dan Sabah.
Katanya, perkembangan itu telah menjadikan MCCC Sabah sebagai platform penting dalam memudah cara kerjasama Malaysia-China, selain menjadi rujukan utama syarikat-syarikat China yang ingin meneroka peluang pelaburan di Sabah dan Malaysia Timur.
Pada masa sama, katanya, MCCC Sabah turut berperanan membantu syarikat tempatan menembusi pasaran China melalui rangkaian kerjasama yang kukuh.
Majlis berkenaan turut menghimpunkan wakil pelbagai dewan perniagaan, persatuan industri, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pemimpin sektor korporat dan masyarakat bagi menyambut ketibaan delegasi dari Dalian.
Dexter berkata, kehadiran pelbagai pihak pada majlis itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan Malaysia-China serta membuktikan keupayaan MCCC Sabah menyatukan pelbagai pihak berkepentingan untuk menjayakan kerjasama strategik.
Beliau berkata, asas kepada kerjasama yang berjaya ialah kepercayaan bersama dan MCCC Sabah akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam memperluaskan peluang pelaburan, perdagangan serta hubungan ekonomi antara Sabah dan China.
Beliau turut berharap lawatan delegasi Persekutuan Perindustrian dan Perdagangan Dalian ke Sabah akan membuka lebih banyak ruang kerjasama baharu, sekali gus memperkukuh hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan China.



