25 C
Kota Kinabalu
Sabtu, November 9, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pumpuk sikap toleransi dan saling menerima antara satu sama lain: Abidin

Abidin menyampaikan sumbangan kepada salah Seorang penerima

RANAU: Penduduk di daerah ini diingatkan agar terus memumpuk sikap toleransi dan saling menerima antara satu sama lain walaupun berlainan kaum dan agama.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir memberitahu bahawa nilai murni seumpama itu adalah unik di Sabah dan ianya jarang ditemukan di tempat lain.


“Di Sabah, khususnya di Ranau kita dapat melihat masyarakat berbilang kaum, agama dan fahaman politik duduk satu meja dan berbual seperti satu keluarga kerana itulah adat budaya yang kita warisi sejak turun temurun.


“Jadikan ini sebagai satu contoh yang boleh menjadi iktibar oleh masyarakat lain. Jangan kita terikut-ikut apa yang berlaku di tempat lain di mana fahaman ekstrim menjadikan mereka hidup dalam pergaduhan antara sesama mereka.


“Masyarakat di sini dapat melihat menjangkaui perbezaan antara satu sama lain dan hidup dalam suasana harmoni walaupun punyai pendapat yang berlainan. Ini mesti kita pelihara dan wariskan kepada anak cucu kita,” kata beliau.


Abidin yang juga merupakan Adun Paginatan berkata demikian semasa Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di perkarangan Markas Parti STAR Lohan Ulu pada hari Jumaat.


Dalam majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan ikhlas kepada lebih 40 Pengerusi dan Ustaz Masjid dan Surau dari sekitar DUN Paginatan.


Menurut beliau, sumbangan yang tidak seberapa itu diberikan untuk menghargai persahabatan di kalangan rakan-rakan komuniti Muslim di sekitar DUN tersebut.


Beliau turut berterima kasih atas kehadiran para perwakilan Masjid dan Surau dalam majlis itu dan mengambil peluang tersebut untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada rakan-rakan yang sedang berpuasa dan selamat manyambut Hari Raya yang bakal tiba tidak lama lagi.


Turut hadir dalam majlis itu, Ketua Daerah Ranau, OKK Muhasip Bin Haji Roman, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Paginatan, Hisyamuddin Bin Harun, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Paginatan, Japili Sigal, Penyelaras merangkap Setiausaha STAR Paginatan, Juis Konsuling dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN