ADVERTISEMENTspot_img

Pulau Banggi Perlu Diberi Keutamaan, Jalan Berkualiti Pemangkin Pembangunan Luar Bandar

Mohamad Mohamarin

KOTA KINABALU: Cadangan pembinaan jalan berturap atau konkrit sepanjang kira-kira 37 kilometer dari Kampung Meliu ke Kampung Dogoton di Pulau Banggi yang dianggarkan bernilai lebih RM300 juta wajar diberi perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan demi memastikan rakyat di kawasan pulau terbesar negara itu tidak terus ketinggalan daripada arus pembangunan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Mohamad Mohamarin berkata, cadangan projek yang akan dilaksanakan secara tiga fasa itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan beliau ke Pulau Banggi pada 9 Mei lalu.

Menurut beliau, projek berkenaan amat penting bagi menaik taraf jaringan perhubungan di Pulau Banggi yang ketika ini hanya mempunyai kira-kira 81 kilometer jalan utama, namun hanya 14 kilometer daripadanya berturap dan kini berada dalam keadaan uzur.

“Keadaan jalan yang rosak dan berlubang bukan sahaja menyukarkan pergerakan penduduk, malah turut mengundang risiko kemalangan serta menjejaskan aktiviti ekonomi masyarakat setempat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Mohamad berkata, jaringan jalan sedia ada juga belum meliputi kawasan Balambangan, Tanjung Manawali, Pulau Sibogo dan Pulau Tigabu yang turut berada di bawah kawasan DUN Banggi.

Beliau menjelaskan, walaupun beberapa projek pembangunan telah diumumkan susulan lawatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Perdana Menteri ke Pulau Banggi, kawasan itu masih memerlukan suntikan peruntukan yang lebih besar bagi mengatasi kekurangan kemudahan asas yang berlarutan sejak sekian lama.

Selain projek jalan raya, beliau turut memohon agar kerajaan
mempertimbangkan pembangunan projek tenaga angin berkapasiti antara 15 hingga 50 megawatt bagi memperkukuh bekalan elektrik di Pulau Banggi serta membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi dan pelaburan.

Mohamad menegaskan, pembangunan infrastruktur yang lebih menyeluruh akan meningkatkan kesejahteraan rakyat, merangsang pertumbuhan ekonomi setempat dan merapatkan jurang pembangunan antara kawasan pulau dengan tanah besar Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN