RANAU: Dua lelaki tempatan ditahan polis di sini selepas video mereka tular di media sosial sedang memukul dua lelaki warga Pakistan di Kampung Rinangkatan, Ranau.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton dalam satu kenyataan media kemarin berkata, kejadian berlaku pada pertengahan Mei lalu.
Katanya, mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ranau kira-kira 8.20 malam pada Rabu selepas mendapati video mereka dipukul tular di laman Facebook serta aplikasi Whatsapp.
“Bertindak atas laporan, sepasukan anggota dari IPD Ranau telah bergegas ke lokasi kejadian pada keesokannya dan berjaya menahan suspek berusia lingkungan 50 dan 60-an.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku berpunca dari salah faham antara dua warga tempatan dan mangsa warga Pakistan” katanya kepada Borneo Daily Buletin kemarin.
Menurut DSP Sammy, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi ekoran kejadian itu dan memadam video terbabit. -Borneo Daily Bulletin