Mohamed Khaled menyampaikan sumbangan. Kebajikan kepada anggota TUDM yang berdepan dengan penyakit kronik.
LABUAN:Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiga projek sistem pesawat udara tanpa pemandu (UAV-MALE ANKA THS ) yang ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan (TUDM) mampu meningkatkan keupayaan pengawasan operasi udara dan perairan negara khususnya di Wilayah Timur.
Beliau berkata sistem UAV ANKA, yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries, berfungsi sebagai aset pemantauan strategik di wilayah timur.
“Langkah itu mengukuhkan lagi keupayaan perisikan, pengawasan dan peninjauan (ISR) TUDM dalam memantau ruang udara dan keselamatan maritim, selain memastikan kedaulatan negara terpelihara,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara TUDM Labuan disini, pada Ahad.
Mohamed Khaled berkata, kerajaan memberi sokongan berterusan kepada Pangkalan Udara Labuan yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk tuntutan bertindih dan pencerobohan di Beting Petinggi Ali, dan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) negara serta aktiviti permadagangan manusia dan penyeludupan.
Pada masa sama beliau turut melakukan tinjuan bagi projek penggantian struktur dispersal PQC di No 14 Skuadron serta projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang sedang dalam pembinaan.
Terdahulu sebelum itu beliau menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama lebih 350 warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Dewan Mutiara TUDM Labuan.
Majlis ini turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kebajikan kepada 14 warga TUDM termasuk keluarga yang berdepan penyakit kronik, sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan anggota.
Turut hadir dalam lawatan itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Haji Malek Razak Sulaiman, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan Aris TUDM; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Masro Kaliwon TUDM; serta barisan kepimpinan tertinggi TUDM dan warga kerja pertahanan Pangkalan Udara Labuan.



