BASHIR (tiga dari kiri) dan Mohd Szulfaizal ( kanan sekali), ketika dibawa melawat Loji Rawatan Air Kinabenua bersama Muhamad Zulkeflee (tengah).
LABUAN: Projek menaiktaraf Sistem Takungan Air Mentah di Mukasauk Loji Rawatan Air (LRA) Kinabenua, Kampung Sungai Bedaun dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.
Pengarah Jabatan Bekalan Air (JBA) Wilayah Persekutuan Labuan, Muhammad Zulkeflee Yusof berkata, projek yang bernilai RM8 juta itu melibatkan kerja-kerja pembesaran dan pendalaman takungan air yang sedia ada bagi meningkatkan kapasiti keperluan sumber air di pulau ini.
“Projek menaik taraf takungan Loji Rawatan Air (LRA) di Kinabenua ini telah bermula pada hujung Oktober tahun lalu di bawah RMK 11 dan dijangka siap sepenuhya pada hujung tahun ini “ katanya.
Beliau berkata demikian sempena lawatan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias ke loji berkenaan, pagi kelmarin.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Labuan (MPPWPL), Mohd Dzulfaizal Ab. Manan dan Ketua Kampung Sungai Bedaun Rosmani Puteh.
Takungan air yang dinaik taraf dengan keluasan 100 meter panjang dan dan 200 meter lebar serta kedalaman 5 meter berupaya membekalkan air 3 juta liter air sehari (3mld) kepada pengguna selain mampu menampung bekalan air sehingga 14 hari sekiranya bekalan air dari Loji Rawatan Air Lawa di Gadong Beaufort Sabah menghadapi masalah.
Sementara itu, Bashir berharap projek berkenaan akan dapat disiapkan mengikut jadual sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah meluluskan projek yang menjadi keutamaan dan kepentingan rakyat pulau ini.
“Kesungguhan kerajaan meluluskan peruntukan projek ini merupakan langkah ke depan kerajaan dalam membantu rakyat Labuan mendapatkan bekalan air secukupnya” katanya.




