ADVERTISEMENTspot_img

PROJEK MENAIK TARAF JALAN SINARON, SOOK KE LINAYUKAN, TONGOD, SABAH TINGKAT EKONOMI SETEMPAT

PUTRAJAYA:Projek menaiktaraf jalan Sinaron, Sook, Keningau ke Linayukan, Tongod, Sabah yang merentasi daerah Keningau dan Tongod serta berada dalam kawasan DUN N.44 Tulid (P182 Pensiangan) dan N.57 Kuamut (P187 Kinabatangan) akan bermula pada Julai 2021.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)Datuk Arthur Joseph Kurup (gambar) berkata, projek ini bernilai lebih daripada RM320 juta dan telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Kesebelas, Rolling Plan Kedua (RMKe- 11, RP2) Tahun 2017 tetapi tergendala selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada tahun 2018. 

Katanya, projek ini sekarang disambung semula dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan akan mengambil masa selama 36 bulan untuk disiapkan.

“Jajaran jalan sejauh 40 kilometer dengan pembinaan tujuh (7) buah jambatan baharu ini menghubungkan Sook ke Tongod melalui Kampung Monggorimot, Lalampas dan Linayukan yang akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar 19 buah kampung seperti Kampung Sinaron, Kampung Sinaron Tengah, Kampung Sinua, Kampung Mansiat, Kampung Lalapakon, Kampung Widudun, Kampung Maliau, Kampung Bibilod dan Kampung Langkabong” katanya.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, pembinaan jalan baharu ini akan mengurangkan jarak dan memendekkan masa perjalanan yang menghubungkan Pekan Sook ke Tongod.

“Pelaksanaan projek ini akan membangun serta menggalakkan sektor pertanian dan pelancongan setempat. 

Impak ekonomi secara keseluruhannya akan dapat dinikmati oleh penduduk khususnya di Keningau, Sook, dan Tongod” jelasnya.

Ini katanya, sekali gus dapat meningkatkan taraf sosial ekonomi penduduk kampung yang tinggal di sepanjang jajaran jalan tersebut. Selain itu, kerja-kerja menaik taraf jalan kepada jalan berturap ini juga akan mengurangkan kos penyelenggaraan rutin jalan yang ditanggung oleh Kerajaan.

Tambahnya, ini menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan sedang berusaha menyediakan kemudahan infrastruktur jalan raya yang lebih baik bagi menghubungkan antara kawasan di pedalaman Sabah supaya pembangunan yang lebih seimbang akan di nikmati oleh semua rakyat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN