Salah sebuah kedai Robert.T 1994 Optical di Suria Sabah, Kota Kinabalu
KOTA KINABALU: Kejayaan mengagihkan 3,814 bingkai cermin mata percuma kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dalam tempoh setahun bakal melakar sejarah buat Robert.T 1994 Optical apabila jenama optik kelahiran Sabah itu menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR).
Pengiktirafan menerusi kategori “Most Spectacles Frames Distributed in a Year” itu mencerminkan komitmen syarikat dalam memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan mata, khususnya dalam kalangan masyarakat kurang berkemampuan.
Majlis penyerahan sijil pengiktirafan berkenaan dijadual berlangsung di Suria Sabah Shopping Mall di sini hari ini, bersempena dengan penganjuran Robert.T 1994 Optical Mega Lucky Draw 2026.
Penyerahan sijil itu akan disempurnakan oleh Pengurus Pensijilan MBR, Siti Hajar Johor, selaku wakil rasmi badan berkenaan.
Pengarah Robert.T 1994 Optical, Dr Robert Tang Guo Sun berkata pengiktirafan itu bukan sekadar pencapaian korporat, malah menjadi pendorong kepada syarikat untuk terus memperkasa inisiatif kebajikan dan penjagaan mata masyarakat.
“Kami amat bersyukur dan berbangga menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records. Pencapaian ini merupakan hasil usaha seluruh pasukan Robert.T 1994 Optical serta sokongan dan kepercayaan pelanggan selama ini,” katanya dalam kenyataan media.
Sebagai kesinambungan usaha berkenaan, syarikat menyasarkan pengagihan 5,000 pasang cermin mata percuma kepada individu dan keluarga B40 pada 2027.
Syarikat itu turut memperkenalkan inisiatif pemeriksaan mata percuma kepada pelajar sekolah di Sabah, Sarawak dan Brunei bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mata serta pengesanan awal masalah penglihatan.
Sejak ditubuhkan pada 2020, Robert.T 1994 Optical telah melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk menerusi Festival Bon Odori di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) serta program kemasyarakatan di Tawau, Kuching dan Bintulu.
Dalam pada itu, Tang berkata syarikat terus memperkukuh kedudukannya dalam industri peruncitan optik dengan mengembangkan rangkaian perniagaan ke pasaran yang lebih luas.
Robert.T 1994 Optical kini mempunyai 49 cawangan, merangkumi 33 di Sabah, 10 di Sarawak, empat di Brunei dan dua di Labuan.
Syarikat itu merancang membuka cawangan ke-50 di SS15, Subang Jaya, Selangor pada Disember ini, sekali gus menandakan kemasukan pertamanya ke pasaran Semenanjung Malaysia.
Tang turut merakamkan penghargaan kepada isterinya, Hwang Chyi Chyi, yang juga Pengarah Urusan syarikat, serta seluruh kakitangan, pelanggan, pembekal dan rakan perniagaan atas sumbangan mereka terhadap perkembangan syarikat.
Sementara itu, acara “See Big Win Big: Mega Lucky Draw 2026” yang berlangsung sejak 25 Nov hingga hari ini mencatat kira-kira 30,000 penyertaan pelanggan dari Sabah, Sarawak, Labuan dan Brunei.
Acara yang memasuki edisi kedua itu merupakan inisiatif penghargaan kepada pelanggan dan dirancang untuk diteruskan sebagai program tahunan syarikat.



