Hajiji
KOTA KINABALU:Bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah yang terjejas susulan kejadian menara penghantaran elektrik tumbang di Ranau dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh enam hari.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata Sabah Electricity kini giat melaksanakan kerja-kerja pembinaan semula menara berkenaan bagi memastikan bekalan elektrik kembali stabil di kawasan terjejas.
Beliau berkata, penduduk di kawasan terbabit kini menerima bekalan elektrik menerusi sumber alternatif dan set penjana sementara, meskipun masih terdapat beberapa kawasan mengalami kekurangan bekalan.
“Menara itu dijangka siap dalam masa enam hari. Buat masa ini, mereka menggunakan sumber simpanan lain dan keadaan semakin bertambah baik.
“Mungkin masih ada beberapa kawasan yang mengalami kekurangan bekalan, tetapi pihak Sabah Electricity akan berusaha menyelesaikannya sebaik mungkin untuk rakyat kita di Pantai Timur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kali Ke-28 di Dewan Canselor UMS, di sini, hari ini.
Hajiji turut menjelaskan bahawa kejadian menara penghantaran elektrik itu tumbang berpunca daripada bencana alam dan bukannya perbuatan yang disengajakan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri komited memperkukuh kapasiti dan kestabilan bekalan elektrik Sabah menerusi pembangunan pelbagai sumber tenaga boleh diperbaharui sebagai langkah jangka panjang.
“Kita telah meluluskan hampir 3,000 megawatt kapasiti tenaga di Sabah, termasuk mini hidro, solar dan turbin angin. Dalam tempoh dua tahun dari sekarang, tambahan lebih 1,000 megawatt dijangka dapat disiapkan, manakala selebihnya akan disiapkan menjelang 2030,” katanya.
Hajiji turut menzahirkan rasa dukacita kerajaan negeri terhadap kesulitan yang dihadapi penduduk Pantai Timur susulan gangguan bekalan elektrik itu, sambil memberi jaminan segala usaha sedang dilaksanakan bagi memulihkan keadaan.
Beliau berharap penduduk di kawasan terjejas dapat memahami situasi semasa ketika kerja-kerja pemulihan sedang giat dijalankan.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Sabah Electricity mempercepatkan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah susulan kejadian menara penghantaran elektrik T313 tumbang di Ranau.
Anwar turut meminta supaya penyediaan bekalan elektrik sementara memberi keutamaan kepada sekolah, pusat peperiksaan dan kemudahan awam kritikal, khususnya bagi memastikan kelancaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).



