ADVERTISEMENTspot_img

Projek ‘Little Stars, Big Dreams’ Bawa Transformasi Pembelajaran Kepada Tabika KEMAS Kg Sungai Lada

Para tetamu kehormat (VIP), pelajar (FKAL) Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), dan kanak-kanak bergambar kenangan bersama sempena Majlis Penutupan Kempen “Little Stars, Big Dreams” di sini, baru-baru ini


LABUAN: Kanak-kanak Tabika KEMAS Kampung Sungai Lada kini menikmati suasana pembelajaran yang lebih selesa dan menyeronokkan hasil pelaksanaan projek komuniti berimpak tinggi bertajuk ‘Little Stars, Big Dreams’oleh sekumpulan pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dari Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).


Projek di bawah inisiatif Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) ini merupakan sebahagian daripada kursus GT30203 Kewangan Korporat Antarabangsa dan melibatkan lapan pelajar Tahun Tiga Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), di bawah penyelarasan Pensyarah Kanan, Dr. Suzillah Binti Sidek.


Kumpulan pelajar yang dikenali sebagai The Generositeam telah melancarkan kempen ‘crowdfunding’ melalui platform MyStartr dari 13 Mei hingga 7 Jun 2025, dan berjaya mengumpul sebanyak RM3,550, melepasi sasaran awal RM3,500, hasil sumbangan 54 penyokong dermawan.


Dana tersebut telah digunakan bagi membekalkan 5 meja panjang baharu, 18 kerusi kanak-kanak baharu, 1 set pc lengkap, 1 set projektor berserta skrin projektor, 1 penapis air bersih, serta kit bahan bantu mengajar bagi setiap murid.


Majlis penutupan rasmi ‘Little Stars, Big Dreams’ berlangsung dalam suasana meriah dan penuh makna, dimulakan dengan simbolik pemotongan reben oleh semua tetamu kehormat (VIP) sebagai tanda perasmian projek.


Upacara tersebut disempurnakan oleh Encik Jali Bin Mumin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg. Sungai Lada, bersama-sama Encik E.D Riduan Anak Paulus Inda, Pengerusi Tabika KEMAS; Encik Faridzuan bin Abdul Harah @ Awang, Pengerusi Belia, Sukan dan NGO; Puan Nur Athirah Abdullah, Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS WP Labuan; Puan Nur Atirah binti Mustafar, Guru Cemerlang Tabika KEMAS; Dr. Suzillah Sidek, Penyelaras Projek; serta Danusha A/P Maniwannan, Pengarah Projek.


Pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan seperti senam zumba, permainan ‘crowdfunding’, dan sesi penyampaian cenderahati, yang mengeratkan hubungan antara pelajar universiti, komuniti dan warga pendidik.


Menurut Dr. Suzillah, projek ini bertujuan untuk meningkatkan semangat belajar dalam kalangan kanak-kanak melalui elemen motivasi dan suasana pembelajaran yang menyeronokkan.


“Melalui pendekatan pendidikan berasaskan komuniti, pelajar universiti bukan sahaja menyumbang secara fizikal, tetapi turut belajar memahami keperluan akar umbi dan peranan mereka dalam pembangunan sosial,” katanya.


Pelajar FKAL lain yang terlibat termasuk Harvit Kumar, Ngu Chen Ni, Nur Namirah Binti Ahmad Ibrahim, Sarveshvarau Letchumanan, Shatheeish Murugan, Sobhan Sackarapani, dan Zaireen Elain Binti Mohammed Nizam yang semuanya menunjukkan dedikasi tinggi dalam menjayakan setiap fasa projek.


Projek ‘Little Stars, Big Dreams’ diharap menjadi contoh terbaik usaha kolaboratif antara universiti dan masyarakat, serta model lestari dalam memperkasa pendidikan awal kanak-kanak di kawasan luar bandar.


Dr. Suzillah turut mengucapkan terima kasih para penyumbang, warga Tabika KEMAS Kg. Sungai Lada.











ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN