29 C
Kota Kinabalu
Khamis, April 24, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Program Simbat-Simbatan  bantu pertumbuhan ekonomi peniaga -Bashir

CENDERAHATI…Rozman (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Bashir sambil diperhatikan ahli WAKAL.

LABUAN: Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Bashir Alias berkata, Program Simbat-Simbatan yang dianjurkan oleh Persatuan Kadayan Labuan (WAKAL) merupakan platform terbaik  untuk membantu membangunkan ekonomi para peniaga sekaligus dapat menarik pelancong ke pulau ini.

Beliau berkata, program  yang memasuki siri ke empat itu  perlu diteruskan kerana ia  memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi para peniaga sekaligus mempertabatkan  seni budaya yang diwarisi oleh kaum kedayan kepada masyarakat umum.

 “Kita di Perbadanan Labuan berharap program seperti ini akan dapat diteruskan kerana ia bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi  dan memartabatkan seni budaya kaum kadayan tetapi juga dapat menarik pelancong ke Labuan” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika berucap merasmikan Program Simbat-Simbatan yang diadakan di perkarangan letak kereta Medan Selera, dekat sini, pada Sabtu.

KENANGAN… Bashir  (berdiri tengah) bersama Rozman bergambar kenangan bersama ahli-ahli WAKAL sempena Program Simbat-Simbatan.

Hadir sama Yang Di Pertua WAKAL, Datuk Rozman Isli.

Program Simbat-Simbatan yang berlangsung dari 31 Ogos dan berakhir  pada  Ahad ini turut  mendapat kerjasama daripada RBB Murni Trading.

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program tersebut berlangsung antaranya pameran dan jualan, pertandingan karaoke otai, pertandingan pakaian  tradisional  kanak-kanak dan persembahan artis ‘MASMONA’.

Sementara itu, Yang Di Pertua WAKAL, Datuk Rozman Isli berkata,  WAKAL merupakan sebuah persatuan  etnik  Kadayan yang ditubuhkan  bertujuan untuk  melaksanakan  program dan aktiviti yang berkaitan dengan  budaya, bahasa, tradisi dan adat resam masyarakat  kadayan.

“Selain itu ia juga bertujuan untuk memartabatkan serta memperkenalkan keunikan warisan etnik kadayan ke mata dunia” katanya.

Jelasnya,  WAKAL membawa maksud kecekalan dalam melakukan sesuatu perkara berkaitan bahasa etnik kadayan dan kesungguhan persatuan dalam usaha membangunkan etnik kadayan selain dapat menyumbang kearah kemajuan bangsa dan negara.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN