KOTA KINABALU: Program Sabah Sihat 2.0 bakal kembali memeriahkan hujung minggu warga kota apabila dianjurkan pada 27 Jun ini di Gelanggang Boling Padang, Kompleks Sukan Kota Kinabalu, dengan pelbagai aktiviti berteraskan kesihatan, kecergasan dan kesejahteraan komuniti.
Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR) Datuk Maria Chong berkata penganjuran itu merupakan kali kedua selepas program sama diperkenalkan pada 2024.
Beliau berkata program berkenaan bertujuan menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat di samping memperkukuh hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan menerusi aktiviti riadah yang melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat.
“Program ini bukan sahaja memberi penekanan kepada aspek kesihatan fizikal, malah menjadi platform untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan amalan hidup sihat serta mengeratkan hubungan keluarga dan masyarakat melalui aktiviti senaman dan riadah bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif kesihatan turut dilaksanakan oleh kementerian itu termasuk Skim Bantuan Pemeriksaan Kesihatan percuma yang dijalankan di semua daerah di Sabah bagi memudahkan rakyat mendapatkan saringan kesihatan awal.
Program yang dijadual berlangsung dari 6 pagi hingga 11 pagi itu akan menampilkan pelbagai pengisian menarik antaranya Mini Explore Race, Brisk Walk, Klinik Pergigian Bergerak, Wellness on Wheels yang menyediakan penilaian komposisi badan, Jualan Rahmah, jualan peralatan serta pakaian sukan, selain reruai pameran pelbagai agensi.
Bagi menambah kemeriahan suasana, penganjur turut menyediakan aktiviti santai untuk seisi keluarga seperti face painting untuk kanak-kanak, instant print dan 360 videobooth bagi merakam detik sepanjang program.
Selain itu, pengunjung berpeluang menerima cenderahati berupa kemeja-T percuma selagi stok masih ada, manakala sebanyak 300 tiket cabutan bertuah turut disediakan kepada peserta yang hadir.
Orang ramai khususnya warga Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya dijemput hadir bagi memeriahkan program berkenaan yang dilihat sebagai antara usaha berterusan kerajaan negeri dalam membudayakan gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan.



