Pengalaman baru..Adik Hyle Ivan Hamdi (topi merah) dan adik Fancisco Marto Paulus
HUTAN yang dilitupi oleh tumbuhan menghijau merupakan anugerah Tuhan yang diberikan kepada makhluk bumi. Apa agaknya yang akan terjadi kepada makhluk bumi jika tumbuh-tumbuhan hijau seperti pokok dan sebagainya musnah hingga menyebabkan bumi ketandusan bagaikan padang jarak padang tekukur?
Kesedaran tentang kepentingan tumbuhan hijau dalam kehidupan sememangnya menjadi suatu keutamaan dan perhatian oleh institusi keluarga dan masyarakat. Kanak-kanak dan remaja dididik, diberikan bimbingan dan motivasi untuk menyelami serta memahami fungsi utama tumbuhan hijau seperti pokok iaitu mengeluarkan oksigen bagi sistem pernafasan manusia dan haiwan serta bertindak sebagai agen pelembab suhu panas disebabkan kekurangan tumbuhan di sesuatu kawasan.
Sebenarnya, berbagai program seperti kempen pendidikan dan kesedaran alam sekitar dalam pelbagai bentuk penerangan, bahan bacaan, media cetak dan sosial telah dilakukan oleh banyak pihak.
Penghijauan Malaysia (2021-2025) misalnya, adalah satu kempen berskala besar yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai peri pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan demi kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara. Ia juga bertujuan untuk memupuk semangat cinta akan alam semula jadi.
Baru-baru ini juga satu program yang berkaitan dengan penghijauan telah diadakan di kawasan pusat TASKA Permata KEMAS Kampung Paka ll Ranau. Walaupun penanaman tumbuhan di kawasan tersebut bukanlah melibatkan skala yang banyak namun intipati objektif program disifatkan sebagai berjaya. Program ini dinamakan Childrens Forest Programme (CFP) atau Program Penghijauan Hutan Kanak-Kanak iaitu usaha sama antara Persatuan Bekas Pelatih OISCA Sabah (PBPOS) dengan pusat TASKA bekenaan.

Razipin (dua dari kanan) bersama kanak-kanak TASKA Permata KEMAS
Menurut Pengerusi PBPOS, Razipin Gutuk, CFP merupakan program di bawah Pusat Latihan KPD OISCA Sabah. PBPOS telah diberi kuasa sepenuhnya untuk menjalankan CFP ke seluruh negeri. Bagi memudahkan pengurusan dan keselarasan, satu jawatankuasa CFP di setiap daerah telah dibentuk oleh PBPOS sebagai penggerak program.
Bagi daerah ini, Jawatankuasa CFP telah merancang untuk meningkatkan lagi jumlah penglibatan kanak-kanak dan pelajar di semua peringkat sekolah. Program CFP akan datang ialah dalam bulan Mac iaitu pelajar di SMK. Timbua dan SK. Timbua.
Semua sekolah yang terlibat CFP akan terikat dengan Memorandum Persefahaman (MoU) selama 3 tahun. Sepanjang tempoh MOU tersebut, Jawatankuasa CFP daerah akan terus memantau perkembangan tumbuhan yang telah ditanam. Mereka juga akan mengadakan kelas bimbingan kepada para pelajar tentang bagaimana cara penyediaan baja kompos yang kemudiannya akan digunakan sebagai baja tumbuhan yang telah ditanam.
Menurut Razipin yang juga Pengurus CFP Cawangan Ranau, program CFP mensasarkan kanak-kanak dan remaja di peringkat TABIKA, prasekolah, sekolah rendah dan menengah yang bertujuan menyemai sikap mencintai, melindungi dan memelihara tumbuh-tumbuhan.
Tujuh objektif program CFP iaitu meningkatkan kesedaran minda kanak-kanak yang cinta akan kehijauan alam sekitar, meningkatkan minda kanak-kanak daripada pemikiran konvensional kepada pemikiran global mengenai alam sekitar, mendedahkan kanak-kanak melalui pengalaman alam sekitar yang lebih praktikal, menyemai dan memupuk kanak-kanak agar mempunyai sikap hormat dan rasa sayang kepada tumbuhan, memperkenalkan keusahawanan dalam industri eco-pelancongan, memperkembangkan program Pendidikan Alam Sekitar yang lebih mapan dan meningkatkan dan memupuk kolaborasi yang baik sepanjang program CFP.
Dalam program itu seramai 11 orang kanak-kanak telah mengambil bahagian. Mereka telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan dibekalkan dengan peralatan menanam serta satu pokok tumbuhan hijau. Sebelum ke aktiviti menanam, kanak-kanak telah diberikan penerangan ringkas tentang cara-cara menanam, kesesuaian dan kepentingan penyiraman serta bagaimana menjaga pokok yang ditanam.
Sebanyak tujuh jenis tumbuhan telah dibekalkan oleh pihak CFP daerah kepada pusat TASKA. Tumbuhan tersebut ialah pokok rambutan, avocado, bosida, kunyit hitam, asparagus, haliah merah dan nona.
Semasa aktiviti penanaman, semua kanak-kanak telah dibimbing sepenuhnya oleh guru Taska dan sebahagian ibu bapa yang hadir. Turut bersama dalam program itu ialah Penolong Pegawai Pendidikan Awak Kanak-Kanak KEMAS Ranau, Vesly Nanaon dan Pengerusi JPKK Shamsul Suhaidi.