Pasukan Kelab KERAS & 5 Star Team Kota Belud di Kompleks Dewan Sukan Botung Kota Belud.
KOTA BELUD: Daerah ini sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah dalam satu Program Khas “JELAJAH KERAS” sebagai program penutup Dwi Tahunan KERAS (Kelab Rekreasi Artis Sabah) bagi sesi 2023 pada penghujung tahun lalu.
Jelajah yang diadakan pada 29.12.2023 lalu itu menyaksikan rombongan yang seramai 12 orang ahli kelab yang diketuai oleh Presiden Kelab KERAS, antaranya Penyanyi & Pelakon lagenda Sabah, Clarice J.Matha, S Welly, Mohd Shahril @Asbow, Sylviana Viana Saiki @ Vie Jimmy, Manja, Selvin Selvister, Marlleney Fane, Jonlik @ Olik, Ryeina U.K dan lain-lain lagi.
Menurut Vie Jimmy selaku Pengarah Program daripada Kelab Rekreasi Artis Sabah (KERAS), kali ini beliau memilih daerah Kota Belud sebagai destinasi jelajah penutupan aktiviti kelab pada tahun 2023.
Beliau turut memilih Tunga Unga Ecotourism yang terletak di Kampung Ratau, Kota Belud sebagai tempat penginapan ahli kelab kalangan artis Sabah serta program “A Night With Sabahan Artis (KERAS)” bersama dengan para peminat dan penyokong seni tempatan Sabah kerana ia bersesuaian dengan objektif kelab dalam menjalankan setiap program di bawah kelab.
“Pengisian pertama wacana program adalah Perlawanan Persahabatan Badminton yang diadakan di Kompleks Dewan Sukan Botung, Kota Belud.
“Pasukan lawan iaitu 5 STAR Team melayani kunjungan daripada Kelab KERAS.
“Perlawanan berlangsung lebih kurang 5 jam di mana pasukan daripada Kelab KERAS mendominasi perlawanan ke atas 5 Star Team dengan pungutan mata kemenangan KERAS dengan 7 mata, 5 Star Team dengan 4 mata dan Seri dengan 6Mata,” katanya.
Pengurus pasukan 5 Star Team, Johnika Bte Jaim @Jzu berkata, pasukan mereka bersedia menerima undangan “Re-Match” daripada Kelab KERAS di Kota Kinabalu di masa akan datang.
Beliau juga amat berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan perlawanan kerana apa yang dicari bukanlah kemenangan tetapi persahabatan di kalangan artis tempatan Sabah.
Selesai perlawanan persahabatan, majlis “A Night With Sabahan Artis (KERAS)” diadakan di Tunga Unga Ecotourism, Kg. Ratau Kota Belud, di mana hidangan makanan dan minuman dimasak dan disediakan sendiri oleh ahli kelab yang terdiri daripada Clarice J.Matha, S Welly, Vie Jimmy, Norliha Osman, Zul Fung dibantu oleh adik Aaron Duff Alfredchris, begitu juga pasukan 5 Star Team.

Pengarah Program, Sylviana Viana Saiki @ Vie Jimmy
Clarice selaku Presiden KERAS menyatakan bahawa program ini suatu langkah proaktif kelab di dalam menjadikan kelab sebagai wadah perpaduan dan ukhuwah bukan saja di kalangan artis Sabah tetapi juga di kalangan para peminat yang banyak menyokong perjalanan seni artis tempatan Sabah.
Kutipan amal khas untuk salah seorang ahli kelab KERAS iaitu Angelyita @ Angel Ann penghidap sakit jantung dan paru-paru juga berjaya dijalankan di mana kutipan berjaya dikutip sebanyak RM300 dan telah diserahkan kepada penerima.
Menurut Vie, walaupun tidak banyak tapi sekurangnya ia berjaya membantu meringankan serba sedikit keperluan Angel Ann.
Beliau juga berterima kasih kepada pemilik Tunga Unga Ecotourism, Roger Mait dan isteri kerana memberi layanan yang sangat baik dan mesra sempena kunjungan Kelab KERAS.
“Lokasi penginapan dan program kali ini amat sesuai kerana tempat pelancongan yang dipilih sangat bersih, selesa dan cantik serta tersedia kemudahan asas yang lengkap.
“Pemandangan yang cantik ditepi Sungai Kadamaian menghadap gunung Kinabalu juga sangat menerujakan,” katanya.
Program Jelajah KERAS pada hari itu ditutupi dengan persembahan khas istimewa daripada Adik Chris Jayden Keiru, Adik Issabell Angel Keiru dan Adik Elicebeth Keiru yang berasal daripada Kota Belud disusuli dengan persembahan daripada artis-artis Kelab Rekreasi Artis Sabah juga daripada pemain daripada 5 Star Team.
Tambah Vie Jimmy, beliau bersama jawatankuasa tertinggi Kelab Rekreasi Artis Sabah akan mengadakan program di masa akan datang ke daerah lain lagi, antara daerah pilhan adalah daerah Ranau atau pun daerah Keningau.
Beliau juga menyeru mana-mana artis seni tempatan Sabah untuk kekal sihat dan mendaftar sebagai ahli Kelab KERAS tidak kira di mana pun mereka berada.