Dr. Eva menyampaikan cenderakenangan kepada Jonathan sambil diperhatikan oleh yang lain-lain
RANAU: Hospital Daerah ini dengan kerjasama Jabatan Urologi Hospital Queen Elizabeth telah menganjurkan program kesedaran kelenjar prostat 2024 peringkat Daerah Ranau di sini baru-baru ini.
Pengarah Hospital Ranau, Dr Eva Candra Susanti Bt Suhaili berkata, program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ranau, YB Datuk Jonathan Yasin.
Menurut beliau, program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan di mana jumlah orang awam yang mengambil kesempatan tampil melakukan pemeriksaan adalah seramai 87 orang.
Dr Eva memberitahu bahawa tujuan program itu dijalankan adalah bagi memberi peluang golongan yang berisiko mendhidapi masalah prostate untuk pengesanan awal penyakit itu sebelum ia merebak dengan lebih serius lagi.
“Kanser prostate merupakan penyakit ketiga tertinggi bagi golongan lelaki di Malaysia, oleh itu bagi mereka yang berusia 55 tahun ke atas dan berisiko disarankan melakukan pemeriksaan awal.
“Sekiranya telah mencapai tahap yang lanjut tahap 3 atau 4 yang telah melibatkan penyebaran ke organ-organ sekeliling akan menyukarkan perawatan yang sebaiknya.
“Diharapkan dengan pemeriksaan awal dapat mengesan penyakit lebih awal dan mendapat rawatan lebih awal,” kata beliau.
Sementara itu, Jonathan mengucapkan syabas dan terimakasih kepada Dr Eva, khususnya para kakitangan dan pegawai Hospital Ranau dan Jabatan Urologi Hospital Queen Elizabeth atas penganjuran program itu.
“Program seumpama ini merupakan satu inisiatif yang mulia yang dijalankan bagi membantu golongan sasar mendapatkan saringan serta pemeriksaan awal kanser prostate.
“Diharapkan program kesedaran ini berterusan untuk memupuk kesedaran rakyat Sabah khususnya penduduk Ranau akan kepentingan pemeriksaan awal untuk kesejahteraan masyarakat dan produktiviti negara.
“Kita juga berharap agar program seumpama ini juga dapat terus diadakan pada masa-masa akan datang supaya lebih ramai lagi individu dapat hadir dan menerima manfaat dari penganjuran ini,” katanya.