Seri Paduka bersama anakanda menikmati santapan ditepi jalanraya dalam Program Kembara Kenali Borneo.
KENINGAU: Program Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah baru-baru ini wajar dijadikan landasan integrasi nasional kepada seluruh pemimpin dan rakyat di negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor, Datuk Robert Tawik berkata, keramahan kedua-dua pasangan DiRaja serta keluarganya membuktikan pemimpin tersohor negara itu tidak membataskan pergaulan untuk menyantuni rakyat jelata yang berbilang kaum dan agama.
Katanya, lawatan mesra itu juga seharusnya dijadikan teladan kepada segenap pemimpin dan rakyat agar mengenepikan unsur rasis dan persengketaan sesama manusia sebaliknya mencintai keamanan.
“Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri dan anakanda-anakanda menyantuni rakyat jelata begitu mesra tanpa mengira perbezaan. Sekaligus baginda berdua menyebarkan mesej perpaduan kepada semua peringkat masyarakat”. Katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah Keningau pada Jumaat.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri Sabah berkata, pemimpin dan rakyat juga dapat menerapkan perasaan cintakan negara dengan mendalam berlandaskan prinsip rukun negara sedia ada.
Selaku pemimpin, beliau mendapat teladan menerusi sifat terbuka Seri Paduka bersama keluarganya untuk diserlahkan dalam kepimpinan dikawasan Dun Bingkor serta seluruh negeri ini.
Tambahnya, momen paling indah dan memberikan makna mendalam untuk dihayati adalah ketika Baginda dan keluarga menikmati hidangan makanan di tepi jalanraya sepanjang kembara itu berlangsung.
“Pemimpin dan rakyat jelata berasa sangat terharu dengan tindakan yang dipamerkan Baginda. Moral daripada tindakan itu, kita selaku pemimpin juga harus membuang stigma pangkat dan jawatan yang disandang perlu layanan kelas tertinggi kerana pangkat dan jawatan tidak tercapai tanpa sokongan rakyat’. Tegasnya.
Kembara Kenali Borneo berakhir di Telok Melano, di selatan Sarawak pada 13 Sept selepas memulakan penjelajahan di Tawau, Sabah pada 3 Sept lepas.
Kembara itu yang diadakan buat julung kali bagi merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak menamatkan perjalanan selama 11 hari melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei.