Hisyam (tiga dari kiri) bersama Muhamad Taha (tiga dari kanan) dalam program Jiwa Murni di SMA MAIWP.
LABUAN: Biarpun tugas hakiki menjaga kedaulatan dan Keselamatan Negara, TUDM tidak melupakan tanggung jawab sosial mereka untuk berbakti kepada masyarakat setempat dengan menganjurkan program Jiwa Murni.
Justeru itu, Pangkalan Udara Labuan (TUDM) menerusi Skuadron 340 telah menganjurkan program Jiwa Murni yang diadakan baru baru ini di Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (SMA MAIWP) Lubok Temiang.
Menurut Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMA MAIWP, Hisham Abdul Aziz yang mewakili Pengerusi SMA MAIWP, Siti AminahZakaria berkata, program yang julung kalinya diadakan di dekolah ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara pihak sekolah dan TUDM, malah menjadi contoh teladan kepada murid mengenai pentingnya menjaga kebersihan persekitaran sekolah.
“Aktiviti seperti ini mampu menyemai nilai nilai murni seperti semangat kesukarelawan, perpaduan dan tanggung jawab sosial dalam kalangan warga sekolah dan komuniti setempat”, katanya ketika berucap pada majlis itu.
Hadir sama, Komander Pangkalan Udara, Brigadier Jeneral Haji Muhamad Taha Hamdan (TUDM), Pegawai Pemerintah Skuadron 340 yang juga Ketua Penyelaras Program Jiwa Murni, Leftenan Kolonel Raja Mohd Anuar Raja Yacob (TUDM) dan Ketua Cawangan Material Pangkalan Udara Labuan, Leftenan Kolonel Zulkhibri Salleh (TUDM).
Sementara itu, Mohd Taha dalam ucapannya berkata, Program Jiwa Murni yang turut dikenali sebagai Civil Military Cooperation (CIMIC) merupakan platform mengukuhkan hubungan tentera dengan masyarakat sekaligus memperluaskan persepsi masyarakat terhadap ATM.
“Dalam kontek ATM CIMIC bertujuan untuk meningkatkan persepsi positif terhadap ATM iaitu membina hubungan baik dengan masyarakat awam, malah berperanan meningkatkan keupayaan logistik dan sokongan untuk membantu masyarakat dalam waktu bencana dan pengamanan”, katanya.
Antara aktiviti yang dijalankan sempena Program Jiwa Murni itu termasuklah membantu pihak Sekolah membina rumah burung merpati, menaik taraf Laman Minda Sihat, melukus mural, mengecat bilik kaunseling serta bilik Pengasas dan membersihkan longkang perimeter dengan bantuan warga sekolah.