24 C
Kota Kinabalu
Isnin, Januari 13, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Program Jelajah Pendidikan Luar Bandar, MARA bantu jayakan konsep ‘Keluarga Malaysia’

Junior (duduk tengah)Pegawai dan guru-guru serta pelajar yang hadir pada program itu.

KENINGAU: Program Jelajah Pendidikan Luar Bandar, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dapat membantu menjayakan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan Perdana Menteri.

Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, konsep tersebut bersifat inklusif, merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum serta mengajak seluruh lapisan rakyat di negara ini agar bersama-sama sebagai sebuah keluarga yang utuh.

Katanya, konsep itu dipilih kerana bersifat inklusif, dekat dengan rakyat dan menunjukkan satu nilai prihatin serta kasih sayang terhadap semua ahli keluarga besar negara.

”Konsep ‘Keluarga Malaysia’ tidak tertumpu kepada soal perpaduan semata-mata tetapi turut memberi penekanan terhadap aspek pendidikan termasuk pendidikan tinggi, yang mana ianya menjadi antara keutamaannya” katanya semasa berucap merasmikan Program Jelajah Pendidikan Luar Bandar MARA, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Apin-Apin baru-baru ini.

Teks ucapan beliau disampaikankan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor, Junior Fred Vincent bagi mewakili Robert.

Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata, selain menyediakan fasiliti pendidikan tinggi seperti universiti, politeknik dan kolej, kerajaan juga sedaya upaya memastikan pelajar-pelajar dapat mengikuti pengajian mereka dengan lebih selesa.

“Pendidikan merupakan agenda yang penting bagi mengubah sesuatu keluarga, kaum dan individu. Sejak dari merdeka kerajaan menjadikan pendidikan sebagai agenda utama.

“Dengan pendidikan, tanpa mengira latar belakang, anak penoreh getah pun boleh menjadi seorang perdana menteri dan anak tok penghulu boleh jadi menteri besar, berjaya hasil dasar yang jelas daripada kerajaan untuk tingkatkan taraf pendidikan anak-anak bangsa.

“Pendidikan juga boleh membantu golongan B40, M40 dan masyarakat luar bandar melanjutkan pelajaran melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan seperti pinjaman boleh ubah MARA yang menanggung sepenuhnya pelajar ke luar negara, ” katanya.

Justeru, beliau berharap para pelajar dan lepasan sekolah dapat mengambil kesempatan dalam program yang diadakan itu dengan sebaik mungkin bagi mengenali fungsi dan tanggungjawab MARA dengan lebih dekat lagi.

“Ini merupakan peluang keemasan kepada para pengunjung untuk mendapatkan info peluang melanjutkan pengajian sejajar dengan kelayakan yang dimiliki.

“Pengunjung bukan sahaja dapat memperoleh maklumat secara terus, malah temuduga juga akan dilakukan serta merta di samping peluang pinjaman pelajaran bagi mereka yang layak, ” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengarah MARA Negeri (Pendidikan), Gilbert Wong Kia Kiat, Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Keningau, Daffri Adzahari; Penolong Pegawai Unit HEM, Sektor Pembangunan Murid, PPD Keningau, Irene Genesio; Pengetua SMK Apin-Apin, Dorothea Caherina Onong dan Yang Dipertua PIBG SMK Apin-Apin, Kamsi Ahmad.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN