ADVERTISEMENTspot_img

YPNM Sabah Sambut Baik Mekanisme Baharu BUDI Diesel, Disifatkan Lebih Mesra Rakyat

David

KOTA KINABALU, 28 Jun (Bernama) — Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menyambut baik penambahbaikan mekanisme Program BUDI Diesel yang membenarkan kelayakan subsidi dipindahkan kepada ahli keluarga terdekat atau pengguna sebenar kenderaan, sambil menyifatkan langkah itu sebagai lebih praktikal dan mesra rakyat.

Pengerusinya, David Chan, berkata penambahbaikan yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menambah baik pelaksanaan subsidi bersasar berdasarkan maklum balas dan sesi libat urus bersama rakyat.

Beliau berkata mekanisme baharu itu dijangka memberi manfaat kepada ramai rakyat Malaysia, khususnya keluarga yang memiliki kenderaan berdaftar atas nama seorang ahli keluarga tetapi digunakan setiap hari oleh ahli keluarga lain bagi tujuan pekerjaan, perniagaan, pendidikan dan urusan harian.

“Langkah ini akan memastikan subsidi diesel disalurkan kepada penerima yang benar-benar layak serta pengguna sebenar kenderaan dengan lebih berkesan, di samping mengurangkan kesulitan dalam proses permohonan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, penambahbaikan itu juga dijangka membantu mengurangkan beban kos bahan api dan seterusnya meringankan tekanan kos sara hidup yang terus dihadapi rakyat, terutama golongan B40 dan M40 yang berdepan peningkatan perbelanjaan harian, kos pengangkutan serta komitmen isi rumah.

Sehubungan itu, YPNM Sabah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas langkah proaktif memperkemas pelaksanaan dasar subsidi supaya bantuan dapat disampaikan secara lebih cekap, bersasar dan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.

David berkata pihaknya berharap kerajaan akan terus memperkukuh dasar-dasar mesra pengguna serta mengekalkan libat urus yang berterusan dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Beliau berkata dasar yang mengambil kira keperluan sebenar rakyat akan terus memberi manfaat dan kelegaan kepada masyarakat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN