Program Imunisasi Tambahan MR-SIA yang diadakan di Klinik Kesihatan Kundasang
RANAU: Pejabat Kesihatan Daerah Ranau kini melancarkan Program Measles Rubella Supplementary Immunisation Activity (MR-SIA) bermula 4 Ogos hingga 12 Oktober 2025 sebagai langkah proaktif membendung penularan penyakit campak (Measles) dan Rubella di kalangan kanak-kanak.
Program ini menyasarkan pemberian suntikan imunisasi tambahan kepada semua kanak-kanak berumur antara 6 bulan hingga 59 bulan, iaitu mereka yang lahir dari 1 Ogos 2020 hingga 31 Januari 2025.
Imunisasi ini ditawarkan secara percuma bagi warganegara atau bukan warganegara di semua fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh daerah Ranau.
Pelaksanaan program ini adalah penting memandangkan terdapat peningkatan kes campak yang dilaporkan di daerah Ranau sebelum ini.
MR-SIA merupakan salah satu strategi penting Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memastikan liputan imunisasi yang optimum serta mencegah sebarang kemungkinan wabak.
Orang ramai boleh mendapatkan suntikan tambahan ini dengan dua cara iaitu, menempah slot menerusi aplikasi MySejahtera, atau datang terus secara walk-in ke Klinik Kesihatan terdekat.
Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan untuk tidak melepaskan peluang ini bagi melindungi anak-anak daripada penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui imunisasi.
Pihak Pejabat Kesihatan Daerah Ranau juga menyeru kerjasama semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin komuniti, guru-guru tadika serta pengasuh untuk membantu menyebarkan maklumat dan menggalakkan penyertaan ibu bapa dalam program ini.
“Lindungi anak anda, lindungi komuniti” – itulah mesej utama yang ingin diketengahkan melalui program MR-SIA ini, demi kesejahteraan masyarakat Ranau secara keseluruhan.



