28 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Program Eksplorasi Amal Budaya PUNR bawa ceria

Florencia (keempat kanan) memberikan cenderahati kepada JPKK Kg Inarad semasa majlis perasmian program itu


TONGOD: Keceriaan jelas terpancar pada wajah para penduduk Kg Inarad yang terletak jauh terpencil di daerah ini selepas menerima lawatan daripada Persatuan Unduk Ngadau Ranau (PUNR) dan beberapa NGO lain di sini baru-baru ini.


Penolong Pegawai Daerah Tongod (Pembangunan) Florencia Padasian memberitahu, Program Eksplorasi Amal Budaya PUNR itu ternyata memberikan kegembiraan kepada penduduk kampung yang sangat jarang dilawati atas faktor geografi yang mencabar di samping lokasi pada jarak 131 kilometer dari pekan itu.


“Tujuan program ini dijalankan ialah bagi meningkatkan kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan untuk membentuk sistem sokongan yang mampu memperkasakan aktiviti-aktiviti sosial kemasyarakatan ke kawasan kampung pedalaman luar bandar.


“Di disamping itu membuat peluang kajian dan pendedahan terhadap alam semula jadi, persekitaran baru dan budaya penduduk di kawasan pedalaman kepada persatuan-persatuan terlibat,” kata beliau.


Selain PUNR, Florencia memberitahu bahawa turut terlibat dalam program itu ialah Persatuan Pacuan Empat Roda Ranau (RFWDA), Persatuan Pacuan Empat Roda Tongod (KAC), dengan kerjasama Ranau Free Market (RFM) dan Pasar Percuma Tongod (PPT).


“Program Eksplorasi Amal Budaya PUNR ini diadakan selama dua hari satu malam dari 9-10 Mac lepas. Antara lain pengisian program ialah sukaneka kanak-kanak yang dilaksanakan oleh AJK PUNR.


“Selain itu, kita juga adakan pemberian barang-barang percuma yang dilaksanakan oleh krew RFM dan PPT, di samping khidmat gunting rambut secara percuma yang dilaksanakan oleh ahli RFWDA.

Para peserta program mengambil kesempatan bergambar dengan para penduduk kampung yang mengenakan pakaian tradisi mereka


“Lain-lain acara termasuk Permainan Bola Sepak (Piala Maggie) bersama penduduk kampung dilaksanakan oleh ahli RFWDA dan KAC, sambil rombongan pelawat bersuai kenal bersama penduduk kampung,” kata Florencia yang juga merupakan Pengerusi PUNR.


Tambah beliau, turut diadakan sesi perkongsian pengalaman daripada Johan Pertandingan Unduk Ngadau Daerah Tongod 2023, Cik Anika, dan juga sesi menanan pokok Kelapa Pandan.


Menurut beliau lagi, antara lain objektif program itu diadakan ialah bagi memberikan sumbangan keperluan harian seperti makanan dan pakaian kepada penduduk kampung yang sangat jarang dilawati atas faktor geografi yang mencabar dan jauh daripada pekan.


Katanya, ini juga memberikan peluang kepada penduduk kampung pedalaman untuk menjalankan aktivit-aktiviti sosial kemasyarakatan dan mempromosikan kampung dan budaya mereka dengan bekerjasama bersama pihak daripada luar.


“Melalui program ini kita akan membentuk satu acara tahunan bagi memupuk kerjasama antara persatuan-persatuan kebudayaan dan sukan ekstrem di dalam daerah sekaligus dalam Negeri Sabah.


“Kita mahu menjadikan program ini sebagai satu medium yang akan membuka mata dan menggalakkan lebih banyak persatuan, penduduk kampung pedalaman mahupun orang awam untuk melakukan aktiviti-aktiviti sosial kemasyarakatan, eksplorasi budaya masyarakat dan alam sekitar yang terdapat di dalam Negeri Sabah,” kata beliau.


Turut Hadir dalam program itu, Pengerusi Persatuan RFWDA Aliyu Zinin, Pengerusi KAC Alsa Sunsing, Pengerusi RFM Roslizah Namin, Pengerusi PPT, tiga peserta Top 3 Unduk Ngadau Daerah Tongod 2023, Pengerusi JPKK, Kg Inarad, Ketua Kampung, Guru Besar SR Kg Inarad dan para penduduk kampung.



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN