Abidin (tengah) memotong riben sebagai gimik perasmian majlis itu
RANAU: Sumbangan badan koperat, syarikat swasta dan lain-lain institusi perniagaan kepada masyarakat amatlah bermakna, lebih-lebih lagi sebagai pelengkap kepada usaha kerajaan dalam membantu meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, badan-badan berkenaan, melalui program Corporate Social Responsibility (CSR) amat dialu-alukan memberi sumbangan balik kepada masyarakat di kawasan mereka.
“Ambil contoh apa yang dilakukan oleh syarikat Toupos Palm Oil Mill Sdn Bhd (TPOM) yang sudah menyumbangkan sebanyak RM40 ribu kepada Kg Toupos bagi membiayai pembinaan sistem bekalan air graviti di sini.
“Ini adalah satu contoh amalan murni yang terbaik yang dapat dimainkan oleh pihak swasta dan persendirian bagi membantu penduduk dan juga pemimpin di kawasan berkenaan demi menjamin kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga,” kata beliau.

Abidin menyampaikan mock cheque kepada Pengerusi JKKK Kg Nunuk Ragang, disaksikan oleh Tiu dan Paul
Abidin yang juga ADUN Paginatan berkata demikian semasa merasmikan sambutan Perayaan 3 Serangkai iaitu Annual Dinner, Happy Labour Day dan Perayaan Kaamatan 2024 TPOM yang diadakan di sini pada malam hari Rabu.
Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kilang TPOM kerana dengan komitmen dan kerja keras kakitangannya maka kilang kini berjaya mengeluarkan lebih kurang 5,000 metric ton minyak sawit (crude oil) dalam sebulan.
“Penduduk kampung sekitar kilang amat bertuah kerana kilang ini telah menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, di mana lebih 90% pekerja kilang adalah terdiri daripada anak-anak tempatan.
“Syabas dan tahniah juga kepada TPOM terutama kepada CEO, Tiu Fui Khiong kerana sentiasa menjalankan aktiviti kemasyarakatanya melalui Program CSR yang memberi manfaat kepada penduduk kampung sekitar.
“TPOM telah memberi sumbangan kepada Kg Toupos dengan membiayai pembinaan sistem bekalan air graviti yang menelan belanja lebih dari RM40 ribu. Pada majlis ini, saya menyampaikan sumbangan bagi pihak TPOM sebanyak RM20 ribu untuk membina empangan Kg Nunuk Ragang,” kata beliau.
Abidin berharap agar TPOM akan terus memberi bantuan kepada penduduk sekitar untuk meringankan beban kerajaan bagi mengatasi masalah rakyat di sini.
Di samping itu, beliau juga menasihati penduduk kampung sekitar untuk terus bekerjasama dengan TPOM untuk menjaga alam sekitar.
“Kalau ada masalah yang timbul, diharap ianya dapat ditangani dengan baik. Duduk berbincang untuk mencari penyelasaian menang-menang,” katanya.
Turut hadir Pegawai Khas kepada Datuk Abidin Madingkir Juis Konsuling, Pengerusi Eksekutif TPOM Dato’ Paul Jong Kim Vui, Ketua Anak Negeri (KAN) Dualis Porodtong, KAN Sawalin Zakaria, KAN Kapilin Hj Surop, Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi-Pengerusi JKKK kampung sekitar.